ACL: Shandong waspada jumpa JDT esok



KAPTEN Shandong Luneng FC, Graziano Pelle (kanan) bersama jurulatih Shandong Luneng FC, Li Xiaopeng ketika sidang media di Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim



JOHOR BAHRU: Pengendali kelab dari China, Shandong Luneng FC, Lee Xiaopeng menyifatkan Johor Darul Ta'zim (JDT) memiliki kekuatan tersendiri yang mampu meranapkan impian pasukan itu memburu kemenangan apabila beraksi pada saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.
Beliau berkata, aksi menentang kelab dari Malaysia itu penting kerana jika kemenangan mampu dilakar maka peluang untuk melangkah ke pusingan 16 tampak cerah namun tidak boleh terlalu yakin sebaliknya harus berhati-hati dengan corak permainan JDT yang beraksi di laman sendiri.


Katanya, JDT pasti akan turun dengan karaktor tersendiri dan jika barisan pemainnya bersikap sambil lewa tidak mustahil hasrat mencipta kemenangan tampak sukar selepas pengalaman ketika menang 2-1 pada aksi pusingan pertama sudah cukup menggambarkan JDT mampu lakar kejutan.
"Kami kena turun beraksi dengan cara dan kualiti tersendiri. Persiapan untuk berdepan JDT tampak berjalan lancar manakala tiada pemain yang mengalami kecederaan. Malah kami akan turun dengan kesebelasan terbaik.
"Semua pemain saya tidak sabar untuk memberi persembahan terbaik walaupun kami tahu JDT akan mendapat keyakinan daripada sokongan penyokong mereka. Namun kami tidak mahu sokongan itu akan menganggu rentak permainan dan taktikal yang diterapkan," katanya.
Ditanya mengenai kelibat Safawi Rasid yang berjaya menjaringkan gol pada aksi 9 April lalu, Xiopeng menganggap bukan sahaja Safawi yang perlu diawasi sebaliknya rangkaian serangan skuad Harimau Selatan mampu meledakkan jaringan jika pergerakkan mereka tidak diawasi.
Beliau berkata, pemain JDT berjiwa besar dan langsung tidak mengenal erti patah semangat sebaliknya kerap beri tekanan kepada barisan tengah sehingga pertahanan Shandon Luneng FC yang tampak agak bergelut ketika aksi penghujung perlawanan ketika aksi di Pusat Sukan Olimpik Jinan.
"Dalam saingan ACL, semua perlawanan penting bagi kami dan kemenangan amat dicari apabila berdepan JDT memandangkan aksi terakhir menjadi penentu pasukan mana yang layak peringkat seterusnya.
"Selepas aksi pertama menentang JDT, saya memahami taktikal yang diperagakan pasukan itu dan tidak dinafikan mereka mampu beraksi dalam tempo perlawanan pantas serta perlahan. Kami akan beraksi dengan keupayaan kami untuk kutip tiga mata," katanya.

Ulasan