JOHOR BAHRU: Penyerang Shandong Luneng FC, Graziano Pelle tidak bimbang dengan cuaca panas apabila turun beraksi menentang Johor Darul Ta'zim IJDT) pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.
Bekas pemain Itali itu menegaskan ada ketika kelab itu perlu di beraksi di selatan China yang cuaca seakan di Malaysia sekali gus tidak timbul masalah untuk turun beraksi pada perlawanan menentang skuad Harimau Selatan.
Pelle yang kini menjaringkan lima gol untuk Shandong Luneng FC sepanjang kempen ACL menegaskan tiada bebanan buat dirinya kerana sebagai penyerang ia adalah amanah yang harus dipikul bagi memastikan kelab berkenaan mencapai sasaran mara ke peringkat pusingan 16.
"Amat penting bukan saja kepada diri saya sebaliknya untuk kelab yang saya wakili. Saingan ACL adalah penting buat kelab Shandong Luneng FC dan sudah menjadi lumrah setiap pemain harus menyerlah bagi memastikan apa yang diidamkan berjaya digapai.
"Kami mahu pergi jauh dan ia perkara biasa dalam bola sepak. Tiada guna beraksi dalam saingan ACL jika kita tidak ada perancangan yang rapi iaitu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi terutama melangkah ke saingan yang lebih tinggi.
"Kami harus sentiasa positif tidak kira dalam saingan ACL atau Liga Super China. Yang pasti menentang JDT bakal menyaksikan pertembungan menarik memandangkan pasukan itu juga mahu lakar kejutan ke atas kami," katanya.
Mengulas mengenai aksi pertama apabila sekadar menang 2-1 menewaskan JDT, Pelle mengakui pasukan kelab dari Johor itu sukar untuk ditewaskan dan hampir mencipta keputusan seri namun agak lega apabila kemenangan memihak Shandong Luneng FC.
Beliau berkata, barisan pertahanan JDT begitu ampuh dan sukar untuk ditewaskan apabila bijak menutup ruang dan pantas memintas setiap gerakan yang bermula di posisi tengah malah kekuatan JDT juga sememangnya tidak diduga.
"Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol dalam perlawanan malam esok namun saya tetap menghormati JDT kerana keupayaan mereka malah saya akui berdepan kesukaran untuk memecah benteng pasukan itu.
"Apa pun kami tetap mahukan kemenangan dan bersedia mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata tapi tidak boleh terlalu teruja untuk tewaskan JDT kerana ia boleh memakan diri sendiri," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan