JOHOR BAHRU: Perjuangan hidup dan mati buat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memburu kemenangan pertama dalam misi memburu slot ke pusingan 16 apabila melayani kunjungan Shandong Luneng FC pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, ia perlawanan penting kerana jika menang maka peluang tampak terbuka untuk memburu slot ke pusingan seterusnya.
Namun, katanya, mereka tidak boleh terlalu memikirkan percaturan itu sebaliknya setiap pemain harus fokus untuk berdepan kelab dari China.
Beliau berkata, sepanjang tiga perlawanan dalam saingan ACL tampak membanggakan walaupun ketika ini hanya mengumpul satu mata.selepas tewas kepada Kashima Antlers dari Jepun dan Shandong Luneng sebelum ini.
"Pemain sedar nilai beraksi dalam kancah ACL apabila menentang kelab-kelab ternama di Asia. Mereka jelas tidak kekok malah mempamerkan aksi konsisten dan ia akan berulang apabila kami melayani kunjungan Shandong Luneng FC, malam esok.
"Kami akan menentang salah satu pasukan terbaik di Asia yang dibarisi pemain ternama selain mempamerkan corak permainan pantas tapi memberi tentangan sengit dan mengetepikan apa jua status kelab itu kerana kelebihan beraksi di laman sendiri beri sedikit kelebihan.
"Mengenai keadaan Mauricio Nascimento sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya bergantung kepada sesi latihan terakhir, hari ini. Jika dia tidak dapat beraksi kami sudah ada alternatif untuk menguatkan benteng pertahanan," katanya.
Mora juga menegaskan selain Nascimento yang mengalami kecederaan, beberapa pemain utama skuad Harimau Selatan juga kemungkinan direhatkan selepas terpaksa mengharungi jadual yang padat sehingga menjejaskan rentak permainan pemain.
Beliau berkata, kejurulatihan JDT sudah mengenal pasti pemain yang bersedia diturunkan untuk menentang kelab dari China itu dan kualiti yang ada pada 27 pemain dalam pasukan itu setara malah boleh diturunkan pada bila-bila masa.
"Bolasepak penuh dengan kejutan. Jika kita beraksi konsisten tidak mustahil kita mampu lakar kejutan ke atas mereka dan kami hampir melakukannya ketika menentang Gyeongnam FC, cuma nasib tidak menyebelahi JDT apabila sekadar seri 1-1 pada aksi 12 Mac lalu," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan