ACL 2019: Shandong Luneng tiada masalah kecederaan, bakal turunkan kesebelasan terbaik hadapi JDT
Jurulatih Shandong Luneng FC, Li Xiaopeng gembira dengan persiapan yang dilakukan oleh pasukannya menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Hasrat mereka untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini juga dilihat cerah memandangkan kesemua anak buahnya bebas kecederaan serta memiliki tahap kecergasan yang tinggi walaupun mengharungi perjalanan jauh dan baru sahaja menghadapi saingan Liga Super China menentang Guangzhou Evergrande FC, jumaat lalu.
“Kami kena turun beraksi dengan cara dan kualiti tersendiri. Persiapan untuk berdepan JDT tampak berjalan lancar manakala tiada pemain yang mengalami kecederaan. Malah kami akan turun dengan kesebelasan terbaik.
“Semua pemain saya tidak sabar untuk memberi persembahan terbaik walaupun kami tahu JDT akan mendapat keyakinan daripada sokongan penyokong mereka. Namun kami tidak mahu sokongan itu akan menganggu rentak permainan dan taktikal yang diterapkan,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Li Xiaopeng bertekad untuk membimbing anak buahnya mara ke peringkat seterusnya dalam saingan ACL 2019. Justeru, mencatatkan kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan merupakan sasaran utamanya pada malam ini.
Jurulatih muda berusia 43 tahun ini dilihat yakin untuk mencapai sasaran tersebut. Beliau turut berkongsi pemerhatiannya terhadap corak permainan JDT dalam perlawanan di Stadium Pusat Sukan Olimpik, Jinan pada 9 April lalu.
Malah, aksi pada babak terakhir yang hampir-hampir menyebabkan Shandong Luneng kehilangan dua mata turut diambil pengajaran oleh Li Xiaopeng. Beliau mengharapkan pemain-pemainnya dapat mengikuti segala taktikal dan perancangan yang diterapkan agar sasaran mengutip tiga mata penuh dapat dicapai.
“Dalam saingan ACL, semua perlawanan penting bagi kami dan kemenangan amat dicari apabila berdepan JDT memandangkan aksi terakhir menjadi penentu pasukan mana yang layak peringkat seterusnya.
“Selepas aksi pertama menentang JDT, saya memahami taktikal yang diperagakan pasukan itu dan tidak dinafikan mereka mampu beraksi dalam tempo perlawanan pantas serta perlahanan. Kami akan beraksi dengan keupayaan kami untuk kutip tiga mata,” jelasnya.
Ketika ini, Shandong Luneng menduduki tempat ke-2 dalam Kumpulan E dengan kutipan 5 mata. Juara bertahan, Kashima Antlers pula selesa mendahului dengan 7 mata hasil daripada dua kemenangan dan satu seri dalam 3 perlawanan sebelum ini.
Foto: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan