ACL 2019: Rembatan jarak dekat Pelle buatkan Harimau Selatan ‘terluka’ di Larkin


ACL 2019: Rembatan jarak dekat Pelle buatkan Harimau Selatan ‘terluka’ di Larkin


Johor Darul Ta’zim terpaksa akur dengan kekalahan tipis di tangan pasukan pelawat, Shandong Luneng FC dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Babak pertama, JDT berjaya mendapat peluang untuk meledak gol pendahuluan menerusi ‘clearance’ yang dilakukan oleh Aidil berjaya sampai ke Diogo namun rembatan pemain dari Brazil itu jauh tersasar.
Tidak berputus asa, skuad dengan julukan Harimau Selatan ini mencuba lagi. Kali ini, larian yang dilakukan oleh Corbin-Ong tidak dapat dibendung oleh pemain berjersi No.6 Shandong Luneng, dan beliau diterjah keras. Pengadil memberikan sepakan percuma.
Syamer Kutty mengambil sepakan percuma tersebut, bagaimanapun tandukan daripada Aidil sekadar melewati palang gol lawan.
Sedang mereka asyik mengatur serangan, Shandong Luneng berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi bekas pemain Southampton, Graziano Pelle setelah beliau tidak dikawal di dalam kotak penalti menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-22.
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT cuba mengasak untuk mencari gol penyamaan, namun percubaan-percubaan yang dilakukan langsung tidak menemui sasaran. Babak pertama tamat dengan Shandong Luneng mendahului 1-0.
Memasuki babak kedua, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora melakukan dua pertukaran iaitu memasukkan Gonzalo Cabrera pada minit ke- 55 dan Safawi Rasid pada minit ke-63. Pertukaran tersebut nyata memberikan sedikit kelainan kepada corak permainan JDT.
Walaupun begitu, gol penyamaan yang dinanti-nantikan tidak juga berkunjung tiba. Pada masa yang sama, Shandong Luneng pula dilihat meningkatkan asakan menerusi beberapa siri serangan balas.
Paling mendebarkan, satu rembatan oleh Graziano Pelle telah mengalahkan Izham Tarmizi di hadapan gawang namun JDT bernasib baik apabila palang menjadi halangan kepada Shandong Luneng untuk merekodkan gol kedua di Larkin.
Selepas dua minit masa tambahan diberikan tamat, pengadil perlawanan meniup wisel menandakan tamat perlawanan. Keputusan akhir, JDT 0-1 Shandong Luneng.
Kesebelasan Utama: Izham Tarmizi, Azrif Nasrulhaq, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Corbin-Ong, Hariss Harun, Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Diogo, Syafiq Ahmad
Pemain Gantian: Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid, Hazwan Bakri
Foto: JOHOR Southern Tigers

Ulasan