ACL 2019: Pelle sedia terima kejutan daripada Johor Darul Ta’zim di Larkin


ACL 2019: Pelle sedia terima kejutan daripada Johor Darul Ta’zim di Larkin


Penyerang Shandong Luneng, Graziano Pelle berkata beliau dan rakan sepasukannya sedia menerima kejutan daripada pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin, pada perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL), malam ini.
Walaupun bakal berhadapan dengan sokongan padu penyokong tuan rumah dan keadaan cuaca yang berbeza, beliau yang juga penyerang skuad kebangsaan Itali suatu masa dahulu menegaskan perkara tersebut tidak akan menghalang mereka daripada menampilkan aksi terbaik seterusnya membolehkan mereka mengumpul mata dan melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
“Amat penting bukan saja kepada diri saya sebaliknya untuk kelab yang saya wakili. Saingan ACL adalah penting buat kelab Shandong Luneng FC dan sudah menjadi lumrah setiap pemain harus menyerlah bagi memastikan apa yang diidamkan berjaya digapai.

“Kami mahu pergi jauh dan ia perkara biasa dalam bola sepak. Tiada guna beraksi dalam saingan ACL jika kita tidak ada perancangan yang rapi iaitu melangkah ke peringkat yang lebih tinggi terutama melangkah ke saingan yang lebih tinggi.

“Kami harus sentiasa positif tidak kira dalam saingan ACL atau Liga Super China. Yang pasti menentang JDT bakal menyaksikan pertembungan menarik memandangkan pasukan itu juga mahu lakar kejutan ke atas kami,” katanya dalam Berita Harian.


Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Olimpik, Jinan dua minggu lalu, penyerang berketinggian 1.94 meter ini berjaya menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 seterusnya membolehkan Shandong Luneng mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas JDT.
Bagaimanapun, beliau yang berpengalaman bermain di saingan domestik Itali, Belanda dan England sempat memuji kombinasi mantap barisan pertahanan JDT yang dibarisi oleh Mauricio, Aidil Zafuan S. Kunanlan dan Corbin-Ong sehingga menyukarkan Pelle menjaringkan gol daripada situasi perlawanan terbuka.
“Sudah tentu saya mahu menjaringkan gol dalam perlawanan malam esok namun saya tetap menghormati JDT kerana keupayaan mereka malah saya akui berdepan kesukaran untuk memecah benteng pasukan itu.

“Apa pun kami tetap mahukan kemenangan dan bersedia mempamerkan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata tapi tidak boleh terlalu teruja untuk tewaskan JDT kerana ia boleh memakan diri sendiri,” katanya lagi.
Foto: JOHOR Southern Tigers

Ulasan