Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak boleh keciciran mata jika mahu mara ke peringkat seterusnya dalam saingan AFC Champions League (ACL) apabila bakal berdepan kelab gergasi dari China, Shandong Luneng FC pada Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan, malam ini.
Namun begitu, jurulatih kecergasan JDT, Jorge Alvarez menegaskan pasukannya akan bermain mengikut cara mereka sendiri seperti mana yang dipamerkan ketika menentang Kashima Antlers dan Gyeongnam FC sebelum ini.
Add caption |
“Perlawanan esok bertemu pasukan Shandong Luneng akan menjadi perlawanan yang sukar bagi kami kerana mereka merupakan antara pasukan yang hebat di Asia.
“Kami juga tahu mereka mempunyai banyak pemain yang hebat. Namun kami, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hadir ke sini untuk melakukan yang terbaik dan bermain dengan cara kami sendiri.
“Kami akan cuba memberikan prestasi permainan yang sama seperti kedua-dua perlawanan sebelum ini iaitu ketika bertemu pasukan Kashima Antlers dan Gyeongnam. Kesemua pemain kini berada pada tahap yang sama dan semestinya akan memberikan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.
Shandong yang diperkuatkan bekas bintang tengah Manchester United serta Belgium, Maroune Fellaini, selain pemain antarabangsa Itali, Graziano Pelle kini menghuni tangga kedua Kumpulan E dengan dua mata.
Reputasi yang dimiliki oleh lawan itu memberi semangat tambahan kepada JDT untuk melakukan yang terbaik.
“Kami akan bermain dengan sehabis baik sepanjang tempoh perlawanan 90 minit berlangsung. Apa yang boleh saya katakan adalah buat masa ini kesemua pemain berada pada tahap keyakinan yang terbaik,” katanya.
Pemain tengah Harimau Selatan, Nazmi Faiz Masor berkata, dia cukup teruja untuk membuktikan kemampuan mencabar gergasi Liga Super China itu meskipun berdepan cabaran cuaca sejuk.
“Saya akan gunakan peluang ini untuk tunjukkan yang terbaik dan membantu pasukan mencatat kemenangan pertama dalam ACL.
“Biarpun cuaca sejuk tetapi keadaan di sini lebih baik berbanding di Jepun (ketika kalah tipis 1-2 kepada Kashima Antlers dalam aksi pembukaan, 5 Mac lalu). Jadi saya fikir tiada masalah tentang cuaca.
“Saya sudah melakukan persiapan terbaik secara mental dan fizikal. Bagi pemain, perkara yang penting adalah rehat, tidur, minum yang cukup dan mengambil makanan sihat,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan