6 penyebab semarakkan pertembungan Pahang, JDT






KUALA LUMPUR: Stadium Darul Makmur bakal menyaksikan pertembungan antara dua pasukan terbaik dalam Liga Super ketika ini membabitkan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juga Pahang, malam ini.
Skuad Harimau Selatan berkunjung ke Kuantan dengan berkelebihan dua mata di puncak liga apabila menghimpun 26 mata sementara skuad Tok Gajah di tangga kedua dengan 24 mata.


BH Sukan menyenaraikan tiga sebab kedua-dua pasukan boleh meraih kemenangan ke atas satu sama lain sekali gus mengutip mata penuh pada aksi terakhir pusingan pertama.
TIGA SEBAB PAHANG BOLEH BENAM JDT 
1. Rekod baik di laman sendiri
Pahang muncul sebagai satu daripada dua pasukan selain JDT yang masih lagi belum tewas dalam saingan liga setakat ini. Pahang sudah beraksi dalam empat perlawanan di Stadium Darul Makmur setakat ini dan mereka berjaya mengelak daripada sebarang kekalahan di laman sendiri yang menyaksikan mereka meraih dua kemenangan dan dua keputusan seri.
2. Tembok Besar Kuantan
Selepas 10 perlawanan, anak buah Dollah Salleh muncul sebagai pasukan paling sedikit dibolosi iaitu dengan enam gol jadi statistik ini membuktikan betapa barisan pertahanan mereka boleh dilabel sebagai benteng terbaik dalam negara ketika ini. Dollah sudah pastinya menagih benteng yang lebih mantap khususnya bagi aksi bertemu JDT malam ini terutamanya selepas mengambil kira keampuhan jentera serangan JDT.
3. Kepenatan JDT beraksi di peringkat Asia
JDT adalah satu satunya pasukan dari Malaysia yang beraksi di luar dan pertambahan jumlah perlawanan menyaksikan mereka bergelut dengan masalah kecergasan ketika saingan domestik turut padat. Mereka beraksi menentang Shandong Luneng pada pertengahan minggu ini jadi faktor ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pahang bagi meraih kemenangan.
TIGA SEBAB JDT BOLEH 'BUNGKUS' PAHANG
1. Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan
Dominasi skuad Harimau Selatan itu dalam saingan liga turut menyaksikan mereka memiliki kelebihan ke atas skuad Tok Gajah. Daripada 12 pertemuan terakhir, JDT memenangi lapan aksi, seri dua sementara Pahang hanya pulang dengan mata penuh dalam dua perlawanan. Sekalipun beraksi di laman lawan, berkemungkinan JDT mampu meraih kemenangan kesembilan ke atas Pahang malam ini.
2. Jentera serangan berbisa
Dengan 24 gol dijaringkan hanya dalam 10 aksi musim ini, tidak dapat dinafikan JDT memiliki jentera serangan paling baik dalam saingan Liga Super. Gandingan Gonzalo Cabrera dan Diogo Santo seharusnya diawasi memandangkan gandingan terbabit sudah meledak 12 gol dalam saingan liga musim ini sekali gus perlu diberi perhatian oleh barisan pertahanan Pahang untuk aksi ini.
3. Deretan pemain berkualiti di bangku simpanan
Ketika JDT sudahpun ada barisan kesebelasan utama yang terbaik, mereka turut memiliki barisan pemain simpanan yang berkualiti dan mampu menghadirkan impak yang sama dengan barisan kesebelasan utama. Situasi ini memudahkan Benjamin Mora ataupun Luciano Figueroa melakukan pertukaran sekiranya perubahan perlu dilakukan pada perlawanan terbabit.

Ulasan