'Yakin JDT lepasi peringkat kumpulan ACL' [VIDEO]


“BIARPUN tewas tetapi kami yakin JDT mampu melepasinya”.
Begitulah nada suara Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT) optimis pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu melepasi peringkat Kumpulan E berdasarkan persembahan berkualiti ketika tewas tipis 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Kashima, Jepun, kelmarin.
Presiden KPBJDT, Azman Jalil berkata, corak permainan yang mantap ketika membuat kelab elit dari Jepun itu bermandi peluh sebelum menang tipis membuktikan betapa skuad Harimau Selatan tampak setanding dan mampu beri tentangan pada saingan kelab-kelab Asia itu.
"Kami sebagai penyokong amat bangga dengan corak permainan skuad Harimau Selatan yang mampu menandingi kehebatan juara bertahan, Kashima Antlers dan kami angga ia permulaan yang baik untuk mengharungi kempen ACL.
"Jika kita lihat dalam perlawanan itu, pasukan lawan tampak bergelut untuk memecah benteng JDT yang dikawal kemas Mauricio Nascimento berganding baik bersama Adam Nor Azlin malah kelibat S. Kunanlan yang kembali beraksi dalam kesebelasan utama juga tidak mengecewakan.
"Tidak dinafikan Kashima Antlers yang turut dibantu Pengarah Teknikal, legenda bolasepak Brazil, Zico bagi merencana strategi permainan dan mengamalkan corak permainan pantas namun barisan pemain JDT tampak tidak mengendahkan status pasukan itu sebaliknya begitu tenang beraksi dalam tekanan," katanya.
Azman berkata, tindakan mengeluarkan Afiq Fazail dan Syafiq Ahmad yang tampak kurang berkesan dalam perlawanan itu jelas memberi kesan selepas pemain gantian, Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor mula meningkat tempo permainan JDT apabila barisan pemain Kashima Antlers terpaksa berhempas pulas menyekat kelicikan kedua-dua pemain itu.
Beliau menambah walaupun tewas dalam perlawanan pembukaan, ia mencetus keyakinan kepada setiap pemain yang mampu berdiri sama tinggi dengan pemain kelab dari Jepun yang rata-rata pernah beraksi di pentas Piala Dunia.
Tambahnya, persiapan lebih rapi harus dibuat sebelum melayani kunjungan Gyeongnam FC pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Selasa ini tatkala kelab dari Korea Selatan itu bermula dengan keputusan yang agak positif selepas mengikat kelab dari China, Shandong Luneng FC 2-2 pada aksi di Stadium Changwon.
"Saya berharap penyokong Harimau Selatan terus berdiri di belakang pemain JDT dengan memberi sokongan padu apabila kita menentang kelab dari Korea Selatan itu.
Anggaplah anda adalah pemain ke-12 dan buktikan kepada kepada penyokong lawan, kita adalah yang terbaik," katanya.

Ulasan