SEMANGAT melawan tinggi diperagakan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika tewas tipis 1-2 kepada kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers dalam aksi pertama Kumpulan E, kelmarin jelas mendapat pujian daripada pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menerusi akaun Twitter peribadinya, beliau menzahirkan rasa gembira di atas prestasi hebat anah buah Benjamin Mora yang memberi tentangan sengit sepanjang 90 minit di Stadium Bolasepak Kashima itu.
Jelasnya, berdepan Kashima Antlers yang juga juara bertahan musim lalu itu bukanlah suatu tugas yang mudah apatah lagi beraksi dalam cuaca sejuk sekitar 10-15 darjah celsius.
"Hari ini (semalam) adalah satu antara detik membanggakan dalam hidup saya. Tahniah pemain dan tahniah kepada JDT. Keputusan yang hebat pada penampilan pertama di ACL yang juga peringkat tertinggi di Asia.
"Beraksi di tempat lawan menentang juara bertahan. Saya bangga dengan anda semua. Tahniah JDT," katanya yang juga Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu.
Dalam penampilan sulung di pentas tertinggi kelab-kelab Asia itu, JDT ketinggalan dua gol menerusi sepakan percuma Taiki Hirato pada minit ke-43 sebelum rakan sepasukan, Serginho menambah derita pelawat dengan gol kedua minit ke-56.
Meskipun ketinggalan, bekas juara PiaLA AFC 2015 itu bangkit dengan memperkemaskan aksi dan berjaya merapatkan kedudukan 1-2 hasil penyudah penyerang import dari Brazil, Diogo Santo di 10 minit terakhir sekali gus menghadiahkan mata penuh buat pasukan tuan rumah.
Selepas ini, juara lima kali berturut-turut saingan Liga Super itu dijadual bertemu naib juara Liga Korea Selatan (K-League) musim lalu, Gyeongnam FC pada 12 Mac ini di Stadium Larkin, Johor Bharu.
Ulasan
Catat Ulasan