KUALA TERENGGANU: Pendahulu Liga Perdana Johor Darul Ta'zim (JDT) II kekal memimpin carta liga selepas seri 0-0 dengan Terengganu FC (TFC) II pada aksi Liga Perdana yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Sebaik perlawanan bermula skuad tuan rumah terlebih dahulu mengasak kubu pelawat dan seharusnya mampu mendapat jaringan pertama melalui tandukan Ramzi Sufian namun sedikit tersasar melepasi palang gol ketika aksi baharu memasuki 45 saat.
Selepas percubaan pertama itu kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan sekali lagi percubaan Ramzi pada minit kelapan hanya sedikit melepasi tiang gol pelawat.
Empat minit berselang JDT II mendapat peluang pertama melalui tandukan Bruno Gabriel Soares hasil sepakan sudut namun sedikit melepasi palang gol.
Pada minit ke-14, bekas penyerang kebangsaan, Rozaimi Abd Rahman patut menyalahkan diri sendiri selepas peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusof.
Begitu juga peluang diperoleh Lucas Elias dalam kotak penalti pada minit ke-25 yang terkena tiang gol ketika penjaga gol sudah tertewas.
Bagaikan tersentak selepas asakan bertali arus pelawat, skuad The Turtles memperkemaskan asakan namun barisan penyerang yang diketuai Akanni Sunday Wasiu tidak cukup tajam.
Malah peluang terbaik yang dimiliki pemain kelahiran Nigeria berusia 35 tahun itu pada minit ke-29 gagal disudahkan dengan baik walaupun peluang terbuka luas untuk meledak gol.
Bersambung babak kedua pertahanan tuan rumah, Serhii Andrieiev mendapat peluang keemasan pada minit ke-46 apabila hanya berdepan penjaga gol, Haziq Nadzli namun gagal disudahkan dengan baik.
Pelawat yang kerap diasak mendapat peluang pada minit ke-70 untuk memimpin perlawanan namun rembatan kencang Fazly Mazlan turut tersasar.
Ulasan
Catat Ulasan