KEHADIRAN penyerang legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima ke Johor Bahru untuk bertemu pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, semalam bakal membuka ruang untuk bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) berlatih dengan kelab La Liga Sepanyol Real Valladolid.
Sekiranya rundingan dengan Ronaldo yang juga pemilik kelab itu menjadi kenyataan, pemain muda JDT akan menimba ilmu dengan skuad Real Valladolid B yang beraksi dalam saingan Segunda B.
Pencapaian gemilang JDT yang ditranformasi oleh Tunku Ismail sehingga mencipta kejuaraan domestik dan Asia, pastinya menarik minat pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia tiga kali itu bekerjasama dalam pembangunan bola sepak Harimau Selatan.
Hakikatnya, ini bukan insiatif pertama JDT bekerjasama dengan kelab antarabangsa, malah pemainnya seperti Gary Steven Robbat pernah dihantar menjalani latihan bersama pasukan Jerman, Borussia Dortmund manakala Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan pula ke Portugal pada 2018.
Bagi pembangunan akademinya, JDT turut mendapatkan khidmat jurulatih dari Dortmund dan kelab Sepanyol, Valencia CF.
Terdahulu sebaik tiba di Johor, beliau dibawa melihat prasarana dan infrastruktur yang dimiliki JDT di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor sebelum menonton perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara JDT menentang kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada sebelah malamnya.
Mengikut kenyataan daripada Johor Southern Tigers, kehadiran Ronaldo yang pernah bermain untuk Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians itu adalah satu lagi sejarah yang cukup manis buat JDT.
Untuk rekod Ronaldo yang diberi jolokan ‘Ronaldo II Fenomeno’ mengambil alih Real Valladolid selepas membeli 51 peratus saham kelab itu daripada presidennya, Carlos Suarez pada 3 September tahun lalu.
Beliau dilapor membayar sekitar 30 juta euro (RM143.69 juta), untuk memiliki kelab yang memiliki 90 tahun sejarah bola sepak dan kini diperkuat penyerang kelahiran Turki yang dipinjam dari Villareal sejak Julai 2017, iaitu Enes Unal selain Daniele Verde yang dipinjamkan dari AS Roma.
Kelab ini yang kini menduduki tangga ke 17 La Liga juga antara 13 pasukan terbaik di Sepanyol termasuk pernah beraksi 43 musim dalam divisyen utama.
Bagi JDT, selain menjuarai Liga Super lima kali, Piala Malaysia (2017), Piala FA (2016) serta Piala Sumbangsih (2015 dan 2016), kelab ini muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Tahun ini JDT mencipta sejarah pasukan pertama dari Malaysia layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia.
Ulasan
Catat Ulasan