PEMILIK pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyelar tindakan segelintir pasukan yang cuba meniru corak pengurusannya tapi tidak menjadi.
Menurutnya, memang semua pasukan ingin menjadi seperti JDT namun beliau berasa sedih kerana perkara lain dititikberatkan seperti menukar papan iklan diod pemancar cahaya (LED) dan tempat duduk pemain simpanan terlebih dulu.
"Semua hendak jadi macam JDT tapi perkara pertama saya buat masa hendak menubuhkan pasukan ini ialah mempertingkatkan kualiti padang terlebih dulu. Sebabnya di sini (padang) orang main bola," katanya menerusi video di laman Facebook (FB) Johor Southern Tigers.
Ujar Tunku Ismail, semua itu disebabkan oleh cara berfikir pasukan lain yang tidak sama dengannya.
"Semua ini adalah bergantung kepada cara berfikir, kalau tidak tukar cara berfikir memang tidak akan ada kejayaan," katanya.
Beliau juga berasa bangga dengan kemudahan latihan yang disiapkan untuk kecemerlangan pasukan JDT termasuk pusat pemulihan kecederaan pemain.
"Saya paling bangga dengan tempat latihan ini bukan kerana pusat latihan tertutup tapi dua perkara paling mustahak dan saya bangga serta dalam masa sama perlu dipertingkatkan lagi iaitu pusat pemulihan dan padang bola ini.
"Kedua-dua ini adalah saya punya 'baby' dan perkara pertama bila tiba di sini saya akan pergi ke pejabat jurulatih," katanya.
Dalam pada itu dalam video yang berdurasi enam minit lebih, Tunku Ismail turut menujukkan pejabatnya.
"Ini adalah pejabat saya, saya boleh pantau semua orang melakukan kerja atau tidak (sambil menunjukkan skrin induk kamera litar tertutup)," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan