PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya meskipun sekadar seri dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman di Alor Setar kelmarin.
Beliau berkata, pemain menunjukkan persembahan terbaik dengan 100 peratus komitmen ketika berdepan dengan pendahulu liga itu.
“Selepas JDT memperoleh jaringan pertamanya pada awal perlawanan, Kedah bangkit dengan semangat juang yang sangat tinggi untuk mendapatkan gol penyamaan seterusnya mengikat mereka dengan keputusan 1-1.
“Semua orang tahu, bukan mudah untuk bermain dengan JDT tetapi malam ini terbukti Kedah mampu menyekat kemaraan mereka,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.
Katanya, kejayaan Helang Merah ‘mencuri’ dua mata daripada pasukan Harimau Selatan itu juga perlu diberi pujian.
“Pencapaian mereka malam ini (kelmarin) adalah hasil kerja keras pemain sepanjang latihan dan kepercayaan yang saya berikan kepada mereka.
“Bagi saya, bila kita beri kepercayaan, pemain akan berasa dihargai seterusnya memberikan 100 peratus komitmen dalam permainan,” ujarnya.
Aidil pada masa sama turut memuji Fernando Rodriguez yang berjaya menghasilkan satu gol buat Kedah serta Khairul Helmi Johari yang menggantikan pertahanan, Renan Alves kerana digantung dua perlawanan selepas menerima kad merah.
Selain itu, kata beliau, Ifwat Akmal Chek Kassim juga cemerlang dalam menepis cubaan berbahaya JDT.
Sementara itu, pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa berkata, JDT sepatutnya membawa pulang kemenangan kerana mencipta banyak peluang untuk mendapatkan gol selain dapat mengawal bola dengan baik.
“Walaupun kita tidak menang tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjaya memperoleh satu mata malam ini,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan