Pemain skuad kebangsaan Belgium, Marouane Fellaini telah mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa.
Keputusan yang diambil pemain berusia 31 tahun itu adalah bagi memberikan peluang serta pendedahan buat pemain muda.
Selama 12 tahun menyarung jersi Belgium, sudah pasti banyak kenangan yang menyinari karier Fellaini bersama skuad yang turut dikenali sebagai The Red Devils itu.
Antara yang pasti akan kekal dalam ingatan pemain tengah tersebut adalah kejayaan membantu Belgium meraih tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia dan juga meletakkan negara tersebut di tangga teratas ranking dunia ketika ini.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan di akaun Twitter rasmi milik beliau, Fellaini menegaskan bahawa keputusan yang diambil ini bukanlah satu keputusan yang mudah buatnya.
”Selepas 12 tahun mewakili Belgium di peringkat tertinggi, saya memilih untuk bersara dari bola sepak antarabangsa.”
”Ia bukan merupakan keputusan yang mudah buat saya dan bukannya saya mengambil mudah tetapi saya merasakan ini merupakan masa yang tepat buat saya untuk mengundur diri dan memberikan peluang buat generasi Belgium akan datang untuk meneruskan tempoh yang cukup gemilang buat sejarah bola sepak Belgium.”
”Ia merupakan satu penghormatan untuk mewakili negara saya sebanyak 87 kali dan menjadi sebahagian pada dua kempen Piala Dunia dan sekali untuk Kejuaraan Eropah buat Belgium.”
”Saya mempunya banyak kenangan hebat bersama Red Devils sejak penampilan pertama pada 2007 sehingga Piala Dunia di Russia tahun lalu dan saya sangat berbangga Belgium kini di tempat pertama ranking dunia FIFA.”
Dalam pada itu, Marouane Fellaini turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih serta para penyokong ketika karier antarabangsanya.
”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada karier antarabangsa saya terutamanya rakan sepasukan, ramai yang akan menjadi rakan seumur hidup dan semua jurulatih yang pernah bekerjasama dengan saya.”
”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Belgium yang mengembara ke seluruh dunia memberikan sokongan buat kami.”
”Saya mengharapkan pengurus dan skuad ini berjaya pada kelayakan Kejuaraan Eropah akan datang. Terima kasih Belgium.”
Setelah memilih untuk meninggalkan Manchester United, Fellaini kini beraksi buat Shandong Luneng yang diletakkan satu kumpulan bersama Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2019.
Ulasan
Catat Ulasan