PEMAIN Selangor, Endrick Dos Santos (depan dua kiri) meraikan gol jaringannya pada saingan Liga Super 2019 menentang JDT di Stadium Shah Alam, hari ini.- FOTO UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
SHAH ALAM 1 Mac- Biarpun tewas namun Selangor dilihat telah berjaya mempamerkan peningkatan rentak permainan mereka berbanding perlawanan sebelum ini, apabila memberi saingan hebat sebelum tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam aksi kelima Liga Super di Stadium Shah Alam itu sebentar tadi, kelibat pemain tengah Sandro da Silva nyata memberi impak awal apabila hampir meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima namun tendangan bebas dari luar kotak penalti sekadar menggegar palang pelawat.
Namun, pasukan JDT hanya memerlukan serangan pertama untuk meraih gol pendahuluan menerusi tolakan mudah pemain tengah Leandro Velazques pada minit ketujuh.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat skuad Harimau Selatan dengan menggandakan asakan dan hasilnya mereka memperolehi gol kedua menerusi tolakan mudah penyerang Diogo Luis Santo tujuh minit kemudian.
Tersentak dengan dua gol dalam masa 14 minit, Selangor kembali mengatur serangan dan berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi rembatan menarik Endrick Dos Santos dari luar kotak penalti pada minit ke-33.
Belum sempat Selangor meraikan jaringan pembakar semangat, skuad Benjamin Mora kembali melebarkan jurang menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-42 dengan memanfatkan umpanan cantik Diogo.
Penjaring terbanyak Liga Super musim lepas, Rufino Segovia kembali meniup semangat rakan sepasukannya untuk memburu kemenangan pertama Red Giants musim ini apabila bijak menandukan hantaran lintang Faiz Nasir untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 2-3.
Bersambung babak kedua, kehangatan pertemuan dua gergasi Liga Malaysia terus rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di hadapan 21,616 penyokong yang hadir ke stadium.
Kelemahan jentera pertahanan tengah Selangor, jelas kelihatan apabila JDT buat kali keempat membolosi gawang yang dikawal Khairulazhan Khalid menerusi tolakan mudah, Leandro pada minit ke-69.
Kemenangan ini meletakkan skuad Harimau Selatan merampas kedudukan Liga Super daripada Kedah, namun skuad Lang Merah berpeluang kembali menerajui liga seandainya berjaya menundukkan PKNS FC di Stadium Darul Aman, malam esok.- UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan