SATU PENYOKONG SATU BENDERA!

SATU PENYOKONG SATU BENDERA!
Dua belas Mac dua ribu sembilan belas. Saat itu hampir tiba semakin jelas. Kita bakal melalui perlawanan kedua peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara AFC. Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin bakal menyambut kedatangan naib juara K-League 1 2018 iaitu Gyeongnam FC.
"Apa ada pada reputasi?"
Apa sahaja reputasi kelab itu bawa ke sini, sedikit pun tidak mencalarkan efikasi diri, seinci pun tidak penyokong Harimau Selatan goyang, sokongan ini tidak pernah curang.
Perlawanan ini bukan sahaja untuk mempertahankan maruah diri, tetapi hari autopsi semangat kita masihkah ada dalam diri? Semoga menjadi saksi medan pemuafakatan kita sebagai penyokong yang tiada prejudis. Segala kekalahan terdahulu tidak kita terus jadikan kudis.
"Penyokong?"
Elemen paling penting menjelang perlawanan ini adalah siapalah Harimau Selatan tanpa penyokong. Tanpa penyokong, hilang sirna panji yang didokong. Penyokong Merah Biru diibaratkan sebagai roh di dalam pasukan. Tanpa roh, pasukan ini tidak berjaya dalam setiap tindakan.
Tidak boleh disangkal, memang selamanya akan kekal, sokongan padu penyokong Merah Biru umpama alteratif memacu swadaya, Ngauman Selatan ditagih mobilisasi untuk terus berjaya.
Maka, stadium keramat ini jangan dibiarkan sunyi kosong tidak berpenghuni, Sorakan Larkin perlu bergema bila tiba kokurensi, supaya jadi peneman sebelas kesatria Harimau Selatan, untuk memerah keringat sepanjang sembilan puluh minit waktu perlawanan.
Kita tunjukkan kepada kelab bunga dari Korea itu bahawa rumah kita ini tidak sekali mudah dijajah. Kita tunjukkan pada mereka bahawa kita calon gergasi Asia!
Kita pateri dalam ingatan mereka bagaimana rupa panji Johor Darul Ta'zim, biar sampai bila-bila mereka tidak lupa sini Larkin jangan main-main.
"Ayuh tunjukkan ini panji kita"
Dari itu, 'Satu Penyokong Satu Bendera’ bersama kita realisasikan.
Integrasi bersatu hati bersama kita menyahut seruan. Kita hadiahkan panji ini sebagai salam pengenalan, bersama kita kibarkan dengan penuh kebanggaan. Kita warnai stadium ini dengan panji yang penuh berdaulat, biar wakil Korea itu terpesona lantas terpikat.
Akhir kalam, kita tunjukkan kepada seluruh benua Asia, Stadium Larkin adalah Kota ngeri yang boleh buat mereka paranoia, sokongan padu kita mampu membuat pasukan lawan jadi insomnia, muafakat kita umpama penambah tonik tenaga yang optimalisasi, menjadi penjana energi pemain Harimau Selatan untuk meningkatkan prestasi.
Percayalah, kita tidak boleh sesekali mengubah arah angin, tetapi kita boleh mengubah mimpi menjadi kenyataan. Mimpi boleh dicapai dengan hanya kewujudan keyakinan dalam sesuatu perjuangan. Maka dengan itu yakinlah kita boleh mencapai kemenangan!
"Jangan mati dalam dengkur, biar mati dalam tempur, biar bertongkat dagu bila kaki patah, panji tanah Jauhar pastikan berkibar megah. Pacak hati jadi paksi, malam itu jadi saksi!!"
Sumber artikel: Media JST

Ulasan