PENGURUS pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa mahu pemainnya terus meningkatkan prestasi masing-masing pada perlawanan seterusnya selepas misi membawa pulang tiga mata tidak menjadi kenyataan pada aksi Liga Super bertemu Kedah di Stadium Darul Aman semalam.
Agak terkilan dengan keputusan seri 1-1 yang dicatatkan semalam, Figueroa bagaimanapun tetap berpuas hati dengan corak persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
"Saya rasa kita perlu menang malam ini setelah mencipta banyak peluang untuk mendapatkan gol,” katanya.
"Kami dapat mengawal bola dengan baik namun kami tidak dapat menghasilkan gol, inilah bolasepak kadangkala menang kadangkala tidak.
"Walaupun tidak mencapai kemenangan, saya tetap berpuas hati dengan satu mata yang kami perolehi malam ini dan kami masih berada di puncak liga."
Figueroa turut menyatakan antara punca skuadnya gagal mencipta gol adalah kerana prestasi yang ditunjukkan oleh penjaga gol Ifwat Akmal yang bertindak cemerlang pada perlawanan ini.
"Apa yang perlu sekarang adalah misi untuk pertingkatkan kekuatan dan corak permainan kita pada perlawanan seterusnya, dan pada masa yang sama mengelak untuk melakukan kesilapan,” kata Figueroa.
Pengurus kelahiran Argentina ini turut mengakui JDT berdepan tugas sukar apabila dua pemainnya turut dihimpit isu kecederaan baru-baru ini selepas pulang dari menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
"Safawi Rasid mengalami kesakitan pada kakinya sementara Syamer Kutty Abba juga turut mengalami kecederaan dan ini membuatkan kami berada dalam keadaan sukar disamping itu ada tujuh pemain yang terlibat dengan penyertaan bersama skuad kebangasaan sebelum ini,” katanya.
Figueroa bagaimanapun mengakui terpaksa menurunkan Safawi berdasarkan kemampuan pemain berkenaan yang berada dalam perancangan JDT pada malam ini.
"Kami tetap memilih untuk menurunkan Safawi kerana dia pemain yang bagus walaupun kesakitan dia tetap juga mahu beraksi pada perlawanan ini dan dia juga merupakan pemain terbaik di Malaysia setakat ini." katanya.
Ulasan
Catat Ulasan