Satiananthan Puji Semangat Juang Pemain Selangor Walaupun Kalah


Meskipun skuad gergasi merah belum pun meraih kemenangan yang pertama dalam saingan Liga Super musim ini, ketua jurulatih pasukan itu, B. Satiananthan tetap memuji semangat juang anak buahnya yang cuba bangkit menyamakan kedudukan setiap kali ketinggalan.
Bercakap kepada utusan malaysia, beliau mengakui masih memerlukan sedikit masa untuk membentuk pasukan terkuat dan percaya anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan selepas mengharungi 5 perlawanan.
Mengulas mengenai kekalahan 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam kelmarin, beliau menyifatkan Selangor bukannya tidak bagus cuma lawan kali ini jauh lebih kuat dan memiliki barisan pemain yang mantap di semua posisi.

“Kami bermain dengan pasukan yang kuat dan pemain sudah beri yang terbaik tetapi dua gol mudah dilepaskan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita.
“Namun, saya harus memuji semangat juang dan tidak putus asa yang ditunjukkan pemain apabila berjaya mengakhiri separuh masa kedua dengan kedudukan 3-2. Malah, mereka berjuang hingga tiupan wisel terakhir.
“Apa yang melucukan, setiap percubaan JDT menghasilkan gol. Jika ia kesilapan daripada penjaga gol (Khairulazhan Khalid), saya perlu bercakap secara persendirian dengannya.
“Apapun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain dan perlu menumpukan kepada perlawanan akan datang bertemu Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar.

FOTO: FA Selangor
Dalam perlawanan menentang JDT, Selangor berhadapan dengan isu kreativiti sekali lagi. JDT jelas tidak terlalu agresif untuk menekan (press) mahupun mematikan ancaman apabila Selangor ada bola.
Hal ini diakui sendiri oleh Luciano Figueroa yang menyifatkan JDT memberikan ruang selesa kepada Selangor untuk mengawal bola serta menggerakkan bola tersebut. Kesannya, gol Endrick adalah contoh di mana, JDT dihukum kerana memberikan ruang selesa kepada lawan.
Namun Selangor akan hilang akal apabila tiba di ‘final third’. Walaupun Selangor mendapat 2 gol dalam perlawanan ini, mereka berhadapan dengan isu kurang permainan kombinasi di bahagian serangan.
Harus diakui serangan mereka menjalankan tugas walaupun bergelut untuk mencipta lebih banyak peluang gol. 2 gol berhadapan dengan pasukan JDT boleh dikatakan baik.
Namun aspek variasi perlu diperpaiki lagi. Selangor memiliki ramai pemain berbakat, tak akan hanya bergantung kepada sistem hantaran lintang kepada target man sahaja.

Ulasan