Sathia tak salahkan Khairul Azhan



PENJAGA gol Selangor, Khairul Azhan Khalid. - Foto Owee Ah Chun.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor enggan menyalahkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid selepas Red Giants tumpas 4-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Khairul Azhan dilihat sekadar melakukan tampanan lemah di dalam kotak penalti hingga menyebabkan JDT mendapatkan dua gol yang tidak sepatutnya.
Namun, Sathianathan menjelaskan, beliau perlu melihat semula tayangan video sebelum membuat apa-apa ulasan mengenai persembahan bekas penjaga gol Pahang itu.
"Saya akan lihat semua tayangan video dan selepas itu akan bercakap dengan dia (Khairul Azhan). Saya tidak suka menjatuhkan semangat pemain.
"Tapi bagi saya, dia sudah melakukan tugas dengan baik. Kami ada rehat kira-kira tujuh hari dari sekarang dan akan melakukan memperbaiki persembahan kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan kepada juara lima kali berturut-turut Liga Super itu menyaksikan Selangor gagal menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam lima perlawanan awal musim ini.
Walaupun tewas, Sathianathan tetap berpuas hati dengan semangat barisan pemainnya yang tidak berputus asa berjuang hingga ke wisel penamat.
"Kami berdepan pasukan kuat, JDT memiliki beberapa pemain yang berkualiti terutama Diogo Luis Santo yang boleh menggelecek tiga atau empat pemain dan Gabriel Cabrera juga mampu melepasi dua, tiga pemain.
"Bagi Selangor pula, Sandro (Da Silva) baru menyertai pasukan, tapi dia tetap beraksi dengan baik dan Taylor (Regan) baru pulih daripada kecederaan, malah dia belum pulih 100 peratus. Tapi saya terpaksa gunakan dia kerana JDT mempunyai pemain terbaik terutama Diogo," katanya.

Ulasan