Revolusi Johor Darul Ta’zim bermula dengan naik taraf padang bola sepak – TMJ
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mula ditubuhkan pada tahun 2013. Walaupun baru sahaja memasuki usia enam tahun, pasukan yang berpengkalan di Johor Bahru ini telah merangkul lebih daripada sepuluh kejuaraan, dikenali pemerhati dan media bola sepak antarabangsa dan kini turut bersaing dalam kancah elit bola sepak asia, Liga Juara-Juara AFC.
Dan insan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh pasukan dengan julukan Harimau Selatan ini tidak lain dan tidak bukan ialah DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemiliknya. Sejak daripada hari pertama baginda terlibat secara langsung dalam revolusi kelab tersebut, segala aspek dititikberatkan samada berkaitan di atas padang mahupun di luar padang.
Pepatah inggeris ada mengatakan ‘a journey of a thousand miles begins with a single step’ dimana ia membawa maksud perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama. Begitu juga JDT, pelbagai sasaran dan impian yang dicanang turut bermula dengan langkah pertama.
Dalam satu video yang dimuat naik di laman sosial rasmi JDT, Johor Southern Tigers, baginda berkongsi berkenaan perkara pertama yang dilakukan ketika menubuhkan kelab tersebut.
“Semua orang nak jadi macam JDT. Perkara pertama yang saya lakukan semasa menubuhkan JDT adalah menaik taraf padang bola sepak.
“Kenapa? Kerana ini merupakan tempat bola sepak dimainkan, di atas padang. Sedihnya, orang lain tukar LED board, bangku simpanan, semua nak buat macam JDT.
“Sepatutnya perkara pertama yang perlu ditukarkan adalah padang.” ulas baginda yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam video tersebut.
Seperti kita sedia maklum, padang merupakan elemen penting dalam sukan bola sepak. Dengan memiliki padang yang berkualiti, anda boleh memainkan pelbagai jenis corak permainan serta mengurangkan risiko pemain ditimpa kecederaan. Itulah yang dapat kita lihat di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang yang menjadi kubu kebal buat JDT.
Selain padang di Stadium Larkin, baginda juga menumpukan usaha untuk membina pusat latihan bertaraf antarabangsa. Pusat Latihan Padang Seri Gelam yang dibina menjadi bualan peminat bola sepak dari dalam dan luar negara. Malah, pemain Barcelona dan Sepanyol, Gerard Pique turut memuji fasiliti-fasiliti yang disediakan.
Padang di latihan pusat tersebut turut mendapat penelitian penuh oleh TMJ. Dalam video yang sama, baginda berkata, “Yang paling saya bangga di pusat latihan ini adalah dua perkara. Pusat pemulihan (recovery centre) dan padang bola ini.”
Baginda turut menegaskan, dua perkara tersebut akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan