Mungkin bagi sesetengah pemerhati bola sepak tempatan, aksi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNP FC pada malam ini adalah perlawanan yang kurang daya tarikannya dan berpendapat kemenangan mudah akan berpihak kepada tuan rumah, JDT.
Inilah saatnya Harimau Selatan perlu mengasah dan menonjolkan taringnya kepada pencabar kejuaraan. Berdepan pasukan yang rapuh di benteng bakal menguji sejauh mana kemampuan JDT untuk memanfaatkannya – mudah atau susah.
Pasukan yang belum kalah akan berdepan dengan pasukan yang masih memburu kemenangan pertama. JDT pastinya mahu mengukuhkan kedudukan liga sementara skuad kendalian Abu Bakar Fadzim pula akan memburu kemenangan pertama.
Dengan status PKNP FC yang terkenal sebagai the giant killers, pertembungan ini menjanji satu aksi yang ada tarikan tersendiri.
Aura positif ACL dibawa pulang ke Larkin & MSL
Belum tewas dalam 5 perlawanan dengan mengumpul 13 mata serta berada di puncak unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019, JDT adalah calon utama untuk memenangi aksi pada malam ini. Mudah atau tidak bergantung kepada prestasi masing-masing.
JDT baru sahaja pulang daripada tugasan pertama di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 yang menyaksikan mereka tewas tipis kepada juara bertahan, Kashima Antlers. Aksi positif yang dipamerkan JDT akan melonjak prestasi mereka ke saingan liga.
Musim lalu, JDT menang dalam kedua-dua pertembungan menentang PKNP FC dengan menyaksikan aksi di Larkin, tuan rumah menang selesa 3-0. Musim 2019 ini menyaksikan mereka sangat tajam di hadapan gol dengan 13 gol sudah terhasil.
Benteng PKNP FC sangat rapuh
Ini adalah musim kedua PKNP FC dalam kancah Liga Super. Permulaan musim yang pasti tidak diinginkan oleh mana-mana pasukan dengan hanya 1 mata diraih dalam 5 aksi. Musim lalu, mereka bermula baik dengan 6 mata dari 5 perlawanan.
Ditambah pula dengan bolos 10 gol dalam 5 perlawanan – purata dua gol satu perlawanan, menjadikan PKNP FC antara pasukan paling rapuh pertahanannya selain Kuala Lumpur. Abu Bakar turut mengakui benteng kali ini paling rapuh pernah dimilikinya.
Berdepan JDT di Larkin yang merekodkan keputusan tidak pernah memihak kepada pelawat sejak sekian lama pasti akan menyukarkan mereka, malah Abu Bakar turut mengakui gundah memikirkan kemungkinan pasukannya akan dibelasah teruk.
Leandro Velazquez & Hafiz Ramdan
Ayam tambatan baharu JDT, Leandro Velazquez dilihat tiada dan tidak beraksi di Jepun tempohari dan pastinya ini memberikannya rehat yang cukup untuk menempuhi perlawanan malam ini.
Dua gol dan satu assist ketika menang ke atas Selangor minggu lalu membuktikan bahawa pemain ini berbahaya jika tidak dibendung awal oleh benteng lawan – terutamanya di Larkin.
Sementara PKNP FC pula pasti akan mengharapkan panggilan ke kem skuad kebangsaan akan meningkatkan moral dan prestasi kapten pasukan, Hafiz Ramdan menjelang aksi malam ini.
Itu merupakan panggilan sulung buatnya dan walaupun PKNP FC tidak beraksi dengan baik, pengendali Harimau Malaya tetap menyenaraikannya. 1 gol telah dicetaknya pada musim ini.
Rekod dan statistik
JDT (M-M-S-M-M)
- Menang 1-0 vs Perak (H)
- Menang 4-1 vs Kuala Lumpur (H)
- Seri 2-2 vs Terengganu (A)
- Menang 2-1 vs Melaka United (H)
- Menang 4-2 vs Selangor (A)
PKNP FC (K-S-K-K-K)
- Kalah 0-1 vs Kedah (H)
- Seri 1-1 vs Felda United (A)
- Kalah 2-3 vs PJ City FC (H)
- Kalah 0-1 vs PKNS FC (A)
- Kalah 0-3 vs Pahang (H)
Taktikal pasukan
Harimau Selatan dilihat gemar menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan Diogo akan beroperasi bersendirian di jentera serangan. Namun, dengan bantuan daripada Leandro, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera, sebenarnya Diogo tidak sendirian.
Taji Diogo kian terserlah apabila telah menghasilkan 4 gol setakat ini disamping meledak gol ketika menentang juara bertahan ACL tempohari. Namun, dengan Harimau Selatan sentiasa membuat rotasi pemain, adakah Diogo akan dipertaruhkan lagi?
Berbeza dengan tuan rumah, PKNP FC tampil dengan formasi klasik 4-4-2 dengan dua penyerang import, Giancarlo Lopes dan Yashir Pinto akan mengemudi jentera hadapan disamping akan dibantu oleh pemain sayap Hafiz Ramdan dan Fadhil Idris.
Abu Bakar diketahui gemarkan sistem counter attacking dan ini yang bakal dimanfaatkannya apabila menentang pasukan-pasukan berstatus gergasi seperti JDT. Untuk menjayakannya, pastinya kesemua pemain harus menampilkan disiplin yang tinggi.
Ramalan Semuanya BOLA
Satu perlawanan yang sukar buat PKNP FC dan mungkin mudah buat JDT. Kemungkinan untuk JDT membuat rombakan atau penggiliran pemain juga ada kerana mereka dijadualkan akan bertemu Gyeongnam FC pada Selasa, minggu hadapan.
Kali terakhir PKNP FC menang saat bertandang ke laman lawan adalah pada Julai tahun lalu ketika menewaskan Kedah dengan keputusan 3-1. Adakah mereka akan berjaya untuk kembali dengan kemenangan atau bakal jadi santapan Harimau Selatan?
Sudah diketahui PKNP FC adalah giant killers sejak beberapa musim dan JDT perlu berhati-hati dengan status lawan itu.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!
Ulasan
Catat Ulasan