Previu MSL 2019: Darul Aman Bakal Sajikan Pertempuran Hangat Kedah & JDT


Kedah akan melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perlawanan tumpuan bagi saingan minggu ke-7, Liga Super Malaysia (MSL) 2019 pada malam ini di Darul Aman.
Luciano Figueroa dan Aidil Sharin Sahak, kedua-duanya adalah pengendali baharu buat pasukan masing-masing. Kedua-duanya miliki formasi taktikal yang hampir sama serta tanpa ragu-ragu, memiliki skuad yang sangat seimbang di setiap posisi.
Cuma sedikit malang buat Helang Merah, ketiadaan dua pemain, Renan Alves dan Fadzrul Danel memaksa pengendalinya membuat sedikit rombakan kepada pasukan. Mampukah Kedah menampilkan aksi yang sama tanpa kedua-dua pemain itu?
Add caption

Kedah mahu Darul Aman kekal utuh

Rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan Helang Merah diranapkan Tok Gajah dua minggu lalu di Darul Makmur. Rekod baik di gelanggang lawan akhirnya musnah dek kerana gol 4 minit sebelum aksi ditamatkan – jaringan pemain muda, Zuhair Aizat.
Kembali ke Darul Aman yang masih dengan rekod tanpa bolos dan tanpa kalah, skuad kendalian Aidil Sharin pastinya mahu mempertahankannya. Tugasan berat menanti blok pertahanan dan tengah Kedah dalam usaha mengekang penggempur JDT.
Hanya dua kali dibolosi dalam enam aksi menjadikan Kedah antara pasukan yang liat di benteng selain PKNS FC, juga dibolosi dua gol. Satu kekurangan skuad Hijau Kuning adalah penyerang, Fernando Rodriguez yang masih tercari-cari ‘rentak’ di Liga Super.

Harimau Selatan mahu terus konsisten


Musim lalu, pertembungan terakhir kedua-dua pasukan adalah dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang menyaksikan Kedah menang 3-1. Baki 3 pertembungan termasuk di Liga Super, Harimau Selatan menang kesemuanya.
Untuk saingan musim 2019, JDT masih belum tewas dalam 8 perlawanan – termasuk dua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia. Untuk saingan liga, JDT cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam 6 perlawanan serta meledak 16 gol.
Rehat yang panjang pastinya telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan bagi meneruskan konsistensi dan telah memberikan kesegaran kepada beberapa pemain tonggaknya seperti Gonzalo Cabrera dan Leandro Velazquez.

Shakir Hamzah & Diogo Santo

Ketiadaan Renan Alves untuk perlawanan menentang Pahang dan JDT adalah tamparan hebat buat benteng Kedah yang telah merekodkan 4 perlawanan tanpa bolos. Kini, tugasan mengurus pertahanan terletak di bahu gandingan Renan, Shakir Hamzah.
Shakir Hamzah berkemungkinan bakal digandingkan bersama Khairul Helmi Johari dan tugas penting mereka pada malam nanti adalah untuk menyekat jentera serangan paling efektif di Liga Super setakat ini – purata 2.66 gol setiap perlawanan.
Sementara JDT pastinya akan terus meletakkan harapan kepada penyerang berbahaya mereka, Diogo Santo untuk terus meledak gol. Sehingga kini, Diogo begitu tajam di depan gol apabila telah mengumpul 4 gol dalam 4 perlawanan berturut-turut.

Diogo bukan hanya bertindak selaku penyerang dalam sistem taktikal yang digunakan oleh Figueroa, dia juga bertugas sebagai perancang pasukan yang adakalanya dilihat keluar dari zonnya untuk membantu Cabrera, Leandro dan Safawi Rasid.

Rekod & Statistik 5 Perlawanan Terakhir MSL

Kedah (S-M-M-S-K)
  • Seri 1-1 v Perak (A)
  • Menang 4-0 v Felda United (H)
  • Menang 2-0 v PJ City FC (A)
  • Seri 0-0 v PKNS FC (H)
  • Kalah 0-1 v Pahang (A)
JDT (M-S-M-M-M)
  • Menang 4-1 v Kuala Lumpur (H)
  • Seri 2-2 v Terengganu (A)
  • Menang 2-1 v Melaka United (H)
  • Menang 4-2 v Selangor (A)
  • Menang 3-0 v PKNP FC (H)

Taktikal pasukan

Aidil Sharin sudah diketahui dengan formasi 4-2-3-1. Kedah boleh dikatakan sudah stabil di setiap posisi, namun dengan ketiadaan Renan Alves yang kini digantung, merencatkan sedikit perancangannya terutamanya berdepan pasukan yang kuat.

Kedah juga akan beraksi tanpa pemain tengah berbakat, Fadzrul Danel yang ketika ini berada di Cardiff untuk program attachmentdi sana. Baddrol Bakhtiar berkemungkinan bakal beraksi bersama Amirul Hisyam Awang Kechik di jentera tengah.
Harimau Selatan sudah pasti akan mempertaruhkan formasi yang sama iaitu 4-2-3-1 dengan Diogo akan beroperasi selaku penyerang tunggal dibantu Cabrera, Leandro dan pemain berbakat, Safawi – gandingan yang sangat berbahaya ketika ini.
Namun, JDT perlu memperkemaskan benteng mereka kerana boleh dikatakan hampir setiap perlawanan, mereka pasti akan dibolosi – kecuali ketika berdepan Perak dan PKNP. Adakah mereka mampu untuk kebal tanpa bolos di Alor Setar?

Ramalan Semuanya BOLA

Satu pertembungan yang menarik dan pastinya akan menyajikan pertempuran taktikal dan fizikal antara kedua-dua pasukan. Perlawanan juga dijangka akan mencabar emosi di kalangan pemain dan juga penyokong – bukan janji tapi pasti!
Pemenang akan boleh mendabik dada – sekurang-kurangnya sehingga mereka bertemu semula di pusingan kedua liga, kerana kedua-dua pasukan ini sejak dari awal musim telah diramalkan sebagai antara pasukan pencabar kejuaraan liga.
Siapa bakal menyerlah di Darul Aman? Pasukan Utara ataupun Selatan? Sang Harimau ataupun Sang Helang?

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Ulasan