Meskipun kebanyakan peminat bola sepak tempatan meramalkan JDT, Pahang dan Kedah akan menghuni kedudukan teratas dalam saingan Liga Super musim ini, jangan lupa skuad semut merah mampu menjadi “pembunuh senyap” untuk memastikan mereka kehilangan mata dalam perlawanan yang seterusnya.
PKNS FC yang dilatih oleh pengendali berpengalaman, Datuk Rajagobal semalam dilihat tidak mempunyai masalah untuk menjadikan FELDA United sebagai mangsa ketiga musim ini dengan kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam.
Kemenangan tersebut membolehkan PKNS naik satu tangga untuk berada di tempat keempat liga dengan 11 mata selepas enam perlawanan Liga Super.
Dalam perlawanan semalam, PKNS dilihat menguasai perlawanan terutama pada separuh masa pertama. Tuan rumah juga tidak menunggu lama bagi mendapatkan jaringan apabila rembatan kencang Romel Morales pada minit ke-23 berjaya menghadiahkan gol awal permainan buat PKNS.
Bermula babak kedua perlawanan menyaksikan Felda United sukar menyerap tekanan dengan baik dan longgar di bahagian pertahanan hingga memudahkan PKNS menambah gol kedua menerusi Tamirlan Kozubaev pada minit ke-46. Kedudukan kekal dengan keputusan 2-0 sehingga tamat perlawanan.
Malah, skuad PKNS FC juga berjaya mengekalkan perlawanan tanpa bolos dalam empat perlawanan berturut-turut dan Rajgobal menyifatkan ia adalah melalui hasil kerja keras serta displin yang diterapkan pada setiap pemainnya.
“Kita bekerja keras dan setiap pemain tahu bahawa apabila mereka berdisiplin dan tidak memberi peluang kepada mana-mana pemain sayap kiri, kanan dan striker pihak lawan, mungkin kita tidak dibolosi,” katanya.
Skuad Semut Merah seterusnya akan berdepan anak buah K. Devan, Petaling Jaya City FC di Stadium MBPJ pada 30 Mac 2019.
Ulasan
Catat Ulasan