PKNP waspada jumpa JDT



PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mahu anak buahnya memperbaiki kelemahan dengan segera menjelang aksi bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin, malam esok.
Abu Bakar berkata, dalam pertemuan dengan Pahang sebelum ini, dia kecewa dengan benteng pasukannya dan perkara itu wajar diperbaiki kerana JDT adalah pasukan yang lebih hebat dengan barisan pemain terbaik.
"Saya tahu prestasi seseorang pemain tidak boleh dijangka tetapi pertahanan kita (ketika bertemu Pahang) seperti hilang fokus sehingga gagal melindungi penjaga gol,” kata Abu Bakar.
"Malah saya juga dapati kita turut longgar di bahagian tengah dan berdepan masalah penyudah tumpul. Kalau berterusan seperti ini, lawan JDT nanti mungkin kita kena lagi teruk."
Pada masa sama, Abu Bakar menggesa pemain importnya supaya memainkan peranan lebih besar dalam pasukan, seiring dengan nilai yang sudah dibelanjakan untuk mendapatkan khidmat mereka.
"Setiap pasukan mengambil pemain import untuk berikan sumbangan terbaik kepada pasukan. Kami juga perlukan pemain import yang lebih berpengaruh," katanya.

Ulasan