PERKARA-PERKARA MENARIK MELIBATKAN JDT SEPANJANG JANUARI HINGGA MAC 2019

PERKARA-PERKARA MENARIK MELIBATKAN JDT SEPANJANG JANUARI HINGGA MAC 2019
Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 kini telah memasuki fasa suku tahun pertama. Kesemua pasukan dan kelab yang bertanding telah melalui enam perlawanan sebelum Liga Super Malaysia berehat selama dua minggu. Imbas kembali beberapa perkara menarik telah berlaku sepanjang bulan Januari sehingga Mac 2019 yang melibatkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
1. MENGEKALKAN KEJUARAAN PIALA SUMBANGSIH
JDT bermula dengan langkah kanan apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan pasukan Perak 1-0 di di halaman sendiri. Gol tunggal Gonzalo Cabrera pada minit ke-40, menceriakan 22,150 orang penyokong Merah Biru.
2. KEHADIRAN PEMAIN LAGENDA LUIS FIGO KE LARKIN
Bekas bintang Galaticos Real Madrid, Luis Figo telah hadir ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin untuk menyaksikan sendiri perlawanan di antara JDT menentang Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2019. Luis Figo yang juga merupakan bekas Pemain Terbaik Dunia dan pemenang Ballon d'Or, sebelum ini telah membuat penampilan khas dalam video pelancaran jersi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim 2019.
3. PENAMPILAN SULUNG DALAM LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)
Sejarah telah terukir, apabila JDT menjadi kelab pertama dari Malaysia bersaing di kancah Liga Juara-Juara AFC (ACL). Aksi sulung pada 5 Mac 2019, ketika bertemu juara bertahan Kashima Antlers di Kota Kashima telah menjadi titik tolak permulaan langkah dalam memperkasakan jenama JDT di benua Asia.
Pada 12 Mac 2019, ketika perlawanan kedua peringkat kumpulan E, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin buat pertama kalinya digunakan untuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila JDT melayani kunjungan Gyeongnam FC disaksikan oleh 16,130 orang penyokong Merah Biru.
4. KERJASAMA BERSAMA JUVENTUS
Pada tarikh yang sama ketika JDT menentang Kashima Antlers dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berangkat ke Kota Turin, Itali.
Baginda telah mengadakan pertemuan bersama pemilik Juventus FC iaitu keluarga Agnelli bagi membincangkan peluang berkolaborasi antara JDT dan kelab gergasi Serie A Italy tersebut.
Ini adalah antara usaha DYAM Tunku Mahkota Johor untuk memastikan JDT berada di atas landasan yang betul untuk menjadi kelab terunggul bukan sahaja di Malaysia malahan di persada dunia.
5. KEHADIRAN LAGENDA BOLA SEPAK SEPANJANG ZAMAN, RONALDO
"The Phenomenon" atau nama sebenar beliau adalah Ronaldo Luis Nazário de Lima. Pemain yang diiktiraf sebagai pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman telah mengumumkan persaraan dari arena bola sepak sekitar tahun 2011.
Ronaldo telah menamatkan karier dengan 412 gol dalam 601 perlawanan dan pernah bergelar juara Piala Dunia sebanyak dua kali bersama Brazil. Satu kenangan manis seluruh keluarga JDT apabila DYAM Tunku Mahkota Johor berjaya membawa lagenda ini ke Stadium Larkin ketika JDT menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL), menentang Gyeongnam FC.
6. DIOGO MENDAHULUI SENARAI PENJARING TERBANYAK
Diogo Luis Santo kini mendahului carta penjaring terbanyak JDT setelah berjaya menjaringkan 6 gol setakat ini. Prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh beliau amat membanggakan dan semoga konsistensi ini dapat diteruskan sehingga penghujung musim. Gonzalo Cabrera pula berada pada kedudukan kedua dalam senarai penjaring dengan jumlah jaringan sebanyak 5 gol.
7. MENDAHULUI CARTA LIGA SUPER MALAYSIA 2019
Sebelum cuti rehat seketika Liga Super Malaysia 2019, JDT telah berjaya berada pada kedudukan pertama dengan perbezaan dua mata dengan pasukan Pahang FA. Dengan 5 kemenangan dan 1 seri, JDT dilihat berjaya mengekalkan fokus dan tumpuan pada liga domestik walaupun berhadapan dengan jadual yang padat.
Namun semua ini masih terlalu awal dan keseluruhan skuad Harimau Selatan perlu terus berusaha menjarakkan diri dan bekerja keras supaya kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam dapat dirangkul.
Akhir kata, tanda aras dan kejayaan JDT hanya dapat dicapai pada musim ini dengan adanya barisan kejurulatihan dan para pemain yang sentiasa bekerja keras, sentiasa mahu belajar dari kegagalan, penyokong yang sentiasa berdiri di waktu susah atau senang dan tidak lupa juga ‘The one and only’ DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST

Add caption

Ulasan