Pemenang Piala Dunia FIFA, Ronaldo tiba di Larkin untuk tonton aksi ACL 2019



Pengumuman oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini mengenai kehadiran pemenang Piala Dunia FIFA, Ronaldo Luis Nazario de Lima ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin menjadi kenyataan apabila beliau telah tiba di bumi Johor, hari ini.
Perkembangan tersebut telah diberitakan menerusi laman sosial JOHOR Southern Tigers. Setibanya di Johor Bahru, beliau yang juga pemegang majoriti saham sebuah kelab Sepanyol, Real Valladolid telah dibawa melawat prasarana dan infrastruktur JDT oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.


Semestinya, kehadiran beliau akan menyerikan lagi pertembungan bersejarah pada malam ini dimana Harimau Selatan akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) buat kali pertama menentang wakil daripada Korea Selatan, Gyeongnam FC.
Bertambah menarik, satu lagi sejarah yang cukup manis buat JDT apabila Pemain Terbaik Dunia sebanyak tiga kali dan pernah bermain untuk Barcelona, Real Madrid, AC Milan and Corinthians ini akan menyaksikan perlawanan sulung Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin menentang kelab Republik Korea, Gyeongnam FC pada malam ini.” tulis kenyataan JOHOR Southern Tigers.
Selain itu, pihak JDT turut memaklumkan bahawa satu pertemuan di antara Ronaldo dan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan diadakan untuk membincangkan potensi jalinan kerjasama membabitkan peluang pemain muda tempatan untuk menimba pengalaman bersama Real Valladolid B.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan