Langkau ke kandungan utama

Pahang, JDT lebih mencabar – Aidil

PENJAGA gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin menangkap bola percubaan pemain Kedah dalam aksi Liga S

PENJAGA gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin menangkap bola percubaan pemain Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR 3 Mac – Selepas keciciran mata ketika menentang PKNS FC di depan penyokong sendiri semalam, Kedah mengakui, cabaran ­lebih sukar menanti dalam dua aksi Liga Super berikutnya apabila bertemu Pahang dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Lebih malang lagi, Lang Merah bakal berdepan dua pasukan teratas liga itu tanpa tonggak pertahanan dari Brazil, Renan Da Silva Alves yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika pasukan itu diikat 0-0 di Stadium Darul Aman.
“Renan perancang utama permainan tetapi dia tidak dapat bermain dalam dua perlawanan bertemu Pahang dan JDT.
“Saya kena rancang semula barisan pemain. Tanpa Renan memang sukar, jadi kami perlu membuat perancangan yang betul.
“Apa yang penting sekarang adalah mengembalikan keya­kinan pemain dan menyusun strategi terbaik. Berdepan Pahang bukan tugas mudah, begitu juga JDT,” kata pengendali Lang Merah, Aidil Sharin Sahak.
Kedah yang menduduki tangga ketiga liga dengan tiga kemenangan dan dua seri akan bertandang ke Kuantan pada Jumaat ini sebelum menerima kunjungan juara lima kali berturut-turut, JDT pada 31 Mac.
Mengenai perlawanan semalam, Aidil Sharin me­ngakui, pasukannya tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol selepas mencipta banyak peluang, terutama pada babak kedua.
“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan, kerana kita lihat pemain bermati-matian menyekat serangan lawan dan mencipta beberapa pe­luang,” katanya.
Sementara itu, pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal memuji komitmen yang ditunjukkan anak-anak buah­nya dan pulang bersama satu mata dari Alor Setar dianggap keputusan yang baik.
“Berjaya bawa pulang satu mata di Kedah dan memberi tekanan kepada tuan rumah menerusi hantaran-hantaran pendek adalah satu keputusan yang baik,” ujarnya.
Beliau mengharapkan pa­sukannya akan meneruskan momentum dan mengutip tiga mata penuh apabila me­nerima kunjungan Felda ­Un­ited di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Ulasan