Malangnya mereka terpaksa bakal berdepan dua pasukan teratas liga itu tanpa khidmat tonggak pertahanan dari Brazil, Renan Da Silva Alves yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika pasukan itu diikat 0-0 dengan PKNS FC di Stadium Darul Aman.
Namun pengendali skuad itu, Aidil Sharin Sahak enggan mengangkat bendera putih sebaliknya yakin dengan kemampuan pemain simpanan yang akan menggantikan tempat Alves.
“Renan perancang utama permainan tetapi dia tidak dapat bermain dalam dua perlawanan bertemu Pahang dan JDT. Saya kena rancang semula barisan pemain. Tanpa Renan memang sukar, jadi kami perlu membuat perancangan yang betul.
“Apa yang penting sekarang adalah mengembalikan keyakinan pemain dan menyusun strategi terbaik. Berdepan Pahang bukan tugas mudah, begitu juga JDT,” katanya seperti dipetik dalam Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai perlawanan menentang PKNS FC, Aidil mengakui, pasukannya mempunyai masalah penyudah yang tumpul dan gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk mendapatkan gol kemenangan.
“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan, kerana kita lihat pemain bermati-matian menyekat serangan lawan dan mencipta beberapa peluang,” katanya.
Kedah ketika ini menduduki tangga ketiga liga dengan 11 mata yang sama dengan pasukan Pahang tetapi dipisahkan dengan jumlah perbezaan gol.
Mereka akan bertandang ke Kuantan pada Jumaat ini sebelum menerima kunjungan juara bertahan Liga Super JDT pada 31 Mac di Stadium Darul Aman. Dua perlawanan ini pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.
Ulasan
Catat Ulasan