KUALA LUMPUR: Menyedihkan!
Itu pandangan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas melihat segelintir pasukan yang cuba untuk ‘meniru’ skuad Harimau Selatan itu namun gagal apabila mereka tidak mementingkan perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan.
“Semua orang nak jadi JDT dan semua nak buat apa yang JDT buat. Tetapi perkara pertama yang saya buat adalah tambah baik padang.
“Kenapa? Sebab di sinilah (padang) orang bermain bola sepak di atas padang. Tetapi sedih (apabila) orang lain tukar papan diod pancaran cahaya (LED), tukar bangku pemain simpanan dengan kerusi kereta macam kita, semua nak buat.
“Sepatutnya benda pertama orang tukar ialah padang. Apapun, ini semuanya adalah mindset dan kalau kita tak tukar mindset, kita takkan berjaya,” kata Tunku Ismail menerusi satu video di laman Johor Southern Tigers.
Sebagai rekod, kemasukan Tunku Ismail mencetuskan transformasi dalam pasukan itu yang menyaksikan mereka menjadi kuasa dominan dalam bola sepak tempatan apabila mendominasi saingan Liga Super buat lima musim berturut-turut.
Bukan setakat mencipta sejarah memenangi Piala AFC 2015, namun mereka turut muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia yang beraksi dalam saingan Liga Juara Juara Asia (ACL) pada musim ini.
Dalam masa sama, meskipun JDT sudah memiliki pelbagai kemudahan berkelas dunia untuk kegunaan barisan pemainnya namun Tunku Ismail masih merasakan ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik.
“Satu benda yang paling membanggakan saya adalah bukan padang latihan dalaman ini.
“Dua benda yang saya bangga tetapi masih lagi perlu penambahbaikan ialah pusat pemulihan dan padang bola sepak. Kedua-dua ini adalah ‘baby’ saya,” kata Tunku Ismail.
Ulasan
Catat Ulasan