Perlawanan kelima Liga Super yang melibatkan pasukan Selangor menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam malam ini pasti menjadi tumpuan apatah lagi skuad gergasi merah kini terdesak untuk mencari kemenangan yang pertama.
Justeru itu, pemain tengah JDT, Harris Harun menuntut rakan sepasukannya supaya berwaspada dan sentiasa fokus di atas padang kerana sedar setiap lawan pasti akan berusaha untuk menewaskan mereka.
“Kami tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan Selangor, kami perlu menganggap setiap perlawanan ibarat perlawanan akhir. Dalam Liga Malaysia, boleh dikatakan semua pasukan mahu menewaskan kami lebih-lebih lagi kami merupakan juara Liga Super lima tahun berturut-turut.
“Ia adalah normal dan kami mengambil perkara tersebut sebagai satu cabaran. Kami juga perlu memperbaiki mutu perlawanan dari segi individu,” katanya melalui kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.
Harris turut menegaskan pasukannya sudah melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kesukaran beraksi di tempat lawan.
“Seperti yang saya pernah katakan, bermain di tempat lawan adalah tidak mudah, tidak kira di mana sahaja kami bermain. Oleh itu penting bagi kami untuk mempersiapkan mental dan fizikal dalam keadaan terbaik,” jelasnya.
Penampilan sulung Sandro Mendonca bersama Selangor
Sementara itu, bekas pemain import Kedah, Sandro Mendonca mengidamkan untuk menjaringkan gol ke atas JDT dalam penampilan pertamanya malam ini.
“Dalam pertemuan terakhir melibatkan saya menentang JDT, saya membantu Kedah menang 3-1 dan saya turut mencetak nama selaku penjaring.
“Tetapi itu semua sudah berlalu, ini cerita baru dan perlawanan baru. Kami perlu melakar kemenangan untuk Selangor dan yang paling penting, memenangi tiga mata tanpa mengira siapa pun yang muncul penjaring,” katanya dalam Stadium Astro.
“Kalau berhasrat mencapai kemenangan, kami perlu bekerjasama dan saling membantu. Selangor mempunyai skuad yang bagus,” tambahnya.
Ulasan
Catat Ulasan