MSL 2019: Benam Cabaran PKNP FC, JDT Kembali Rampas Takhta Liga

Pastinya ia malam yang indah apabila 3 gol di babak pertama menerusi ledakan Leandro Velazquez, Diogo dan Gonzalo Cabrera membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan mereka kepada 3 perlawanan berturut-turut.
JDT mudah untuk menewaskan PKNP FC dengan keputusan 3-0 dalam aksi ke-6 unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi, seterusnya kembali merampas takhta liga daripada Pahang.
Turun tanpa tekanan, JDT dilihat membuat beberapa perubahan kepada kesebelasan utama dengan kemasukkan S. Kunanlan, Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid. Formasi yang digunakan oleh JDT adalah 4-2-3-1 dengan Diogo mengemudi jentera serangan.

Sementara pelawat buat kali pertama beraksi tanpa kapten, Hafiz Ramdan yang mengalami kecederaan ketika menentang Pahang. Dengan formasi 5-3-1-1, PKNP FC mempertaruhkan Yashir Pinto dan Giancarlo Lopes di jentera hadapan.
Masih segar dengan pengalaman beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) minggu lalu, JDT tampil lebih baik berbanding PKNP FC dengan beberapa gerakan diatur untuk mengasak kubu lawan menerusi sayap kanan, Akhyar Rashid dan penyerang, Diogo.
Diogo tidak hanya dilihat berada di atas, adakalanya dia turun meninggalkan posisi untuk mengambil bola di bahagian tengah.
FOTO: Johor Southern Tigers
Satu perubahan ketara buat PKNP FC adalah perubahan posisi kapten, Sukri Ab Hamid daripada tengah ke pertahanan tengah dan menolak Siyovush Asrorov ke bahagian tengah bertahan.
Abu Bakar Fadzim meletakkan 5 benteng di kubu dalam usaha untuk mengehadkan asakan tuan rumah dan ianya tampak berhasil dengan JDT hanya mampu berlegar di luar kotak penalti.
Dua percubaan terbaik JDT hanya mula hadir di minit ke-15 dan 21 menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Nazmi Faiz Mansor dan penjaring dua gol minggu lalu, Leandro Velazquez.
Minit ke-27, Leandro berjaya menebus kegagalannya dua minit sebelum itu untuk gol pertama perlawanan, juga menerusi rembatan susulannya namun kali ini berjaya untuk menewaskan Shafiq Afifi di gawang – berpunca daripada kegagalan penjaga gawang itu untuk mengeluarkan dengan baik percubaan Diogo.
FOTO: Johor Southern Tigers
Berpunca daripada asakan belakang pertahanan PKNP FC, Amani Aguinaldo, JDT memperolehi sepakan penalti yang telah berjaya disempurnakan oleh Diogo pada minit ke-36 untuk gol kedua JDT.
PKNP FC bolos lagi di minit ke-41 juga menerusi jaringan penalti oleh pemain sayap menyerang, Gonzalo Cabrera selepas penjaga gol, Shafiq Afifi – yang kali kedua beraksi untuk PKNP FC didapati menjatuhkan Cabrera di dalam kotak penalti.
Menuju penamat babak pertama, pelawat baru dapat menguji Farizal Marlias – yang langsung tidak diusik sepanjang hampir 40 minit di gawang selepas percubaan sepakan percuma oleh Yashir Pinto berjaya diselamatkan oleh penjaga gol JDT itu.
PKNP FC pastinya lega apabila JDT gagal menambah jurang gol di minit ke-60 menerusi percubaan Diogo yang diselamatkan Filemon Anyie di atas garisan gol di saat penjaga golnya telah tertewas.
Ketika Harimau Selatan dilihat mula mengurangkan cengkaman menuju 30 minit terakhir, barulah PKNP FC berjaya mengaturkan beberapa asakan ke kubu tuan rumah namun masalah kombinasi di kawasan final third terus menghantui pelawat.
FOTO: Johor Southern Tigers
Walaubagaimanapun, usaha PKNP FC dilihat terencat pada minit ke-75 apabila ketua pasukan, Sukri Ab Hamid pula dilayangkan kad merah akibat kekasaran yang telah dilakukannya.
Adakalanya JDT cuba untuk menambah derita PKNP FC seperti di minit ke-85 dan 89 menerusi dua percubaan pemain muda negara Akhyar Rashid dan Safawi Rasid – yang bakal menyertai kem skuad B-23 negara untuk saingan Kelayakan Piala AFC B-23.
Perlawanan akhirnya ditamatkan oleh pengadil dan menyaksikan PKNP FC terus dibelenggu kekalahan. Mereka gagal meraih sebarang kemenangan dalam 11 perlawanan sejak kali terakhir melakukannya pada Ogos 2018 – ke atas Selangor.
JDT kembali ke puncak liga dengan 16 mata, dua mata di hadapan Pahang yang berada di kedudukan kedua Liga Super.
JDT: Farizal Marlis (PG), Adam Nor Azlin, Mauricio dos Santos, Corbin Ong (84′ Syazwan Andik), S. Kunanlan, Hariss Harun (K) (70′ Afiq Fazail), Nazmi Faiz Mansor, Gonzalo Cabrera (77′ Safawi Rasid), Leandro Velazquez, Akhyar Rashid, Diogo
PKNP FC: Shafiq Afifi (PG), Amani Aguinaldo, Siyovush Asrorov (40′ Alif Safwan), Rafiq Faeez, Filemon Anyie, Ibni Khozaimi (71′ Khairul Asyraf) , Sukri Ab Hamid (K), Fadhil Idris, Thomas Abbey, Yashir Pinto, Giancarlo Lopes.

Ulasan