PEMAIN JDT menjalani latihan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru kelmarin dalam persiapan menghadapi PKNP FC pada saingan Liga Super malam ini. ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
KUALA LUMPUR 8 Mac - Turun sebagai juara lima kali berturut-turut, pendahulu dan tidak pernah kalah musim ini meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pilihan untuk menewaskan PKNP FC dalam aksi Liga Super di Larkin esok.
Skuad Harimau Selatan juga mempunyai motivasi tambahan untuk menang iaitu selain beraksi di depan ribuan penonton tuan rumah, aksi mereka juga mungkin ditonton seorang penyokong istimewa iaitu bekas Pemain Terbaik Dunia, Ronaldo dari Brazil.
Biarpun JDT punya banyak sebab untuk memenangi perlawanan itu, namun situasi tersebut sedikit pun tidak menggentarkan PKNP yang bertandang ke Larkin dengan misi membawa pulang mata.
Pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim mengakui, berdepan pasukan yang memiliki barisan pemain tempatan dan import terbaik seperti JDT bukan tugas mudah tetapi itu tidak bermakna pasukannya tidak ada peluang untuk melakar kejutan.
“Saya akui, JDT berada pada aras berbeza dibandingkan kami. Mereka memiliki barisan seimbang dan kuat di semua posisi, dari penjaga gol, pertahanan, tengah hinggakan serangan.
“Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami akan memberi laluan mudah. Kami bermain untuk memastikan gawang tidak dibolosi dan berjaya membawa pulang satu mata dianggap satu pencapaian yang cukup bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, pasukannya perlu memberi perhatian terhadap serangan awal JDT kerana pasukannya cenderung melakukan kesilapan awal seperti melepaskan gol pada minit kedua ketika tewas 0-3 kepada Pahang, Sabtu lalu.
Ulasan
Catat Ulasan