JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban mengakui kemenangan 2-0 menewaskan Kelantan pada aksi Liga Perdana, malam tadi adalah hasil kerja keras setiap pemain yang diturunkan dalam perlawanan itu.
Katanya, walaupun tanpa dua tonggak utama Nicolas Fernandes dan Mohamed Ghaddar yang mengalami kecederaan, jelas tidak meluntur semangat pemain JDT II yang bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan tatkala menentang skuad Marko Kraljevic yang memiliki kekuatan tersendiri.
"Apa yang saya rancangkan terutama aspek taktikal, semuanya bergantung kepada pemain yang diturunkan pada perlawanan itu dan anda lihat sendiri mereka ada keazaman untuk menang maka apa yang mereka hajati membuahkan hasil.
"Saya pernah katakan, setiap perlawanan yang kami harungi sememangnya sukar dan tidak dinafikan aksi menentang Kelantan malam ini (malam tadi) adalah perlawanan terbaik yang dipamerkan selepas tiga aksi yang kami tempuh.
"Kami ubah taktikal dengan memberi lebih penekanan di posisi sayap kiri dan kanan kerana di posisi tengah kelibat Nik Akif (Syahiran Nik Mat) dan pemain nombor 7 (Flavio Junior) kerap mendominasi posisi itu, tetapi karektor pemain saya yang saling percaya antara satu sama lain bekerjasama di dalam padang membolehkan kita meraih tiga mata," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol yang dijaringkan Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-40 dan Khairullah Abdulhalim pada minit ke-58 melonjakkan skuad Merah Biru menguasai carta liga selepas mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut.
Ditanya mengenai keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membatalkan kemenangan JDT II menewaskan Perlis 3-2 pada aksi 15 Februari lalu, Boban anggap itu adalah peraturan yang ditetapkan dan tidak boleh diubah.
Namun apa yang mencetus kekecewaan buat beliau akibat aksi itu, JDT II terpaksa melupakan khidmat Fernandez dan Ghaddar akibat mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan menentang UiTM FC dan Kelantan.
"Akibat perlawanan menentang Perlis, saya masih tidak dapat menurunkan Nicolas (Fernandez) dan Ghaddar yang mengalami kecederaan malah khidmat kedua-dua pemain itu mungkin tidak dapat digunakan pada aksi menentang Terengganu FC II (TFCII), Ahad ini," kata Boban.
Ulasan
Catat Ulasan