Luciano Figueroa: Legenda Hidup Harimau Selatan Yang Pernah Digelar Batigol, Kini Intai Asia


Berkepala botak, berkemeja putih dan lantang di bahagian teknikal pasukan untuk memberikan arahan. Tidak sukar untuk menggambarkan kelibat Luciano Figueroa ketika perlawanan membabitkan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Lima perlawanan telah dilalui setakat ini di saingan unifi Liga Super Malaysia. Empat daripadanya berakhir dengan kemenangan – cukup untuk JDT menjadikan permulaan musim ini sebagai yang terbaik sejak lima musim yang lalu. Sekurang-kurangnya Luciano membuktikan beliau telah berjaya melakukan pencapaian yang lebih baik berbanding pengendali-pengendali sebelumnya.
Tidak cukup dengan itu, esok Luciano Figueroa akan membawa pasukan kendaliannya berhadapan gergasi Asia dari Jepun, Kashima Antlers di kejohanan berprestij peringkat Asia, Asian Champions League (ACL) – sebagai wakil tunggal negara dalam pertandingan tersebut.

Foto: JST

Latar belakang

Luciano Gabriel Figueroa Herrera adalah nama penuh kepada bekas penyerang ini. Lucho adalah nama yang sinonim dengan beliau ketika masih beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina satu masa dahulu. Malah nama panggilan itu turut sinonim di kalangan penyokong bola sepak JDT sejak beliau tiba di Larkin sebagai pemain pada 2014.
Dilahirkan pada 19 Mei 1981, Lucho adalah pemain kelahiran Santa Fe, Argentina. Kebetulan atau tidak, Sante Fe juga adalah tempat kelahiran dan wilayah asal kepada salah seorang lagi legenda bola sepak Argentina, Gabriel Batistuta.

Karier profesional Lucho pula bermula pada 2001 bersama Rosario Central ketika berusia 21 tahun – sebuah kelab yang sehingga kini telah memiliki empat gelaran Primera Division Argentina.

Lucho membentuk gandingan yang mantap bersama rakan penyerang, Cesar Delgado – menjaringkan 17 gol sepanjang musim Clausura itu, cukup untuk menarik perhatian kelab Eropah.

Dianggap sebagai Batigol Baru

Eropah adalah impian kepada mana-mana pemain yang ingin mengembangkan bakat ke tahap tertinggi. Perkara sama juga diimpikan oleh Lucho ketika mendapat perhatian daripada Birmingham City pada musim panas tahun yang sama.
Disamakan dengan Gabriel Batistuta, Luciano Figueroa turut mendapat gelaran ‘Batigol baharu’ – gelaran yang disamakan dengan legenda Argentina itu setelah musim cemerlang muncul penjaring terbanyak di Argentina.

Lucho kemudiannya dipinang oleh Birmingham bimbingan Steve Bruce dengan nilai £2.5 juta dengan kontrak selama lima tahun.
“Saya sangat teruja dengan prospek untuk beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris bersama Birmingam City,” ujar Lucho selepas perpindahan beliau ke Birmingam telah disahkan.

Kontroversi perpindahan

Hanya beberapa bulan menyertai Birmingham, kelab Sepanyol, Osasuna turut mengheret pemain itu kepada FIFA. Ini kerana kelab La Liga tersebut mendakwa Lucho sudah pun menandatangani kontrak bersama mereka sebelum beliau menyertai The Blues. Kes tersebut bagaimanpun diputuskan oleh badan induk bola sepak dunia itu dengan memihak kepada Birmingham.
Selepas itu timbul desas desus perkhabaran mengatakan Rangers turut menarik diri dari memikat Lucho atas sebab-sebab tertentu. Impian Lucho untuk mencipta nama di England tidak menjadi kenyataan seperti yang beliau impikan. Beliau hanya kekal bersama kelab Inggeris tersebut selama lima bulan. Satu-satunya penampilan Lucho bersama Birmingham ialah sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Portsmouth pada September 2003.

Luciano Figueroa, Birmingham City (Photo by Neal Simpson/EMPICS via Getty Images)
Antara perkara yang dikatakan menghalang perkembangan Lucho di England pada ketika itu ialah kerana fizikal beliau yang tidak sesuai dengan bola sepak Inggeris yang agresif. Perkara tersebut dipercayai turut menjadi faktor mengapa Rangers menarik minat untuk mendapatkan khidmat beliau sebelum ini.
Menariknya, walaupun sukar mendapat tempat di dalam skuad utama Birmingham, Lucho meledak deretan gol bersama pasukan simpanan kelab tersebut. Beliau akhirnya dilepaskan untuk menyertai Cruz Azul di Mexico pada Disember.

Tidak pernah putus asa

Sepertimana yang kita kenali pada hari ini, Luciano Figueroa mempunyai perwatakan yang begitu gigih dalam mengejar apa yang diimpikan. Beliau tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai ‘winning mentality’ luar biasa untuk mencapai kejayaan.
Selepas menyertai kelab Mexico, Lucho turut berusaha untuk memperbaiki karier beliau di serata kelab-kelab Amerika Selatan dan juga Eropah. Antara kelab yang beliau pernah sertai selepas Cruz Azul adalah River Plate dan Boca Juniors.

Manchester United’s Paul Scholes and Villarreal’s Luciano Figueroa (Photo by Tony Marshall – EMPICS/PA Images via Getty Images)
Beliau turut pernah kembali ke La Liga untuk beraksi bersama Villareal dan juga Genoa di Itali. Antara kejuaraan yang beliau pernah perolehi ialah kejuaraan Primera Division 2008 Apertura ketika beraksi bersama Boca Juniors- dimana beliau menjaringkan 7 gol daripada 17 penampilan untuk gergasi Argentina itu. Kegigihan beliau tidak sia-sia apabila turut mendapat perhatian untuk menyertai skuad kebangsaan Argentina.

La Albiceleste

Tiada rekod mengenai debut sebenar Lucho bersama La Albiceleste, bagaimanapun banyak keratan akhbar antarabangsa yang mengisahkan kehebatan beliau di kejohanan Copa America 2004 bersama pasukan negaranya. Antaranya ialah dua jaringan Lucho yang membantu Argentina menewaskan uruguay 4-2 di aksi peringkat kumpulan, sebelum beliau turut menyinar di Kejohanan Piala Konfederasi setahun selepas itu.
Dalam kejohanan yang diadakan di Jerman itu, Figueroa menjaringkan hatrik ketika membenam Australia 4-2. Beliau turut menjaringkan satu lagi gol untuk negaranya di peringkat separuh akhir ketika menentang Mexico.

NUREMBERG, Germany: Argentine forward Luciano Figueroa (L) celebrates after scoring the opening goal past Australian defender Ljubo Milicevic during the 2005 FIFA Confederations Cup, 18 June 2005 at the Frankenstadion in Nuremberg. AFP PHOTO MARCUS BRANDT (Photo credit should read MARCUS BRANDT/AFP/Getty Images)
Hanya Adriano dari Brazil tampil menjaringkan lebih banyak gol dari Lucho di kejohanan yang diadakan pada 2005 itu.
Kenangan terindah Luciano Figueroa semestinya ialah ketika membantu skuad Argentina memenangi pingat emas di Sukan Olimpik 2004, di bawah kendalian jurulatih terkenal, Marcelo Bielsa.

Legenda hidup Harimau Selatan

Skuad Harimau Selatan di bawah pimpinan DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) membawa masuk Luciano Figueroa untuk musim 2014 Liga Super Malaysia dengan nilai perpindahan sekitar US$1 juta dari Panathinaikos. Kelab dari selatan tanah air itu turut dilaporkan membayar sekitar US$1.5 juta setahun untuk khidmat beliau.
Pelaburan JDT nyata berbaloi. Musim 2014, Lucho menjaringkan 10 gol untuk membantu JDT bergelar juara Liga Super. Musim berikutnya, adalah musim terbaik Luciano Figueroa bersama JDT. Selain daripada Piala Sumbangsih dan Liga Super, Lucho turut membantu JDT muncul juara Piala AFC.

FOTO: JST
Malah Lucho turut menyumbangkan lima gol untuk JDT dalam kejohanan tersebut – yang mencipta sejarah tersendiri, apabila JDT muncul pasukan tunggal dari negara ini muncul juara di pertandingan kelab Asia.
Bagaimanapun Lucho memilih untuk bersara sebagai pemain profesional selepas tamat musim 2015, sebelum diumumkan sebagai duta kelab oleh TMJ pada musim 2017. Pernah mengejutkan ramai apabila kembali beraksi pada musim lalu, beliau sekali lagi bersara pada jendela perpindahan kedua musim 2018.

Pengurus dan Ketua Jurulatih

Luciano Figueroa kemudiannya dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih JDT pada Ogos 2018 – sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan kelab berkenaan. Sebab utama beliau dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih skuad utama telah menjelaskan kepentingan beliau kepada kelab.
“Figueroa telah dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih untuk beberapa sebab. Antara sebab-sebabnya ialah impak kehadirannya yang sangat besar di dalam bilik persalinan. Beliau telah terlibat dalam sesi latihan selama lebih setahun dan pengurusan yakin bahawa beliau mempunyai apa yang diperlukan untuk membawa pasukan ini lebih maju ke hadapan.

“Figueroa juga lebih memahami tentang cara kerja di kelab ini dan untuk persiapan saingan Liga Juara-Juara AFC pada tahun 2019, mungkin lebih baik untuk mempunyai individu yang sudah biasa dengan kelab,” ujar kenyataan dari JDT ketika mengulas perlantikan beliau.
Turut ditekankan adalah pengalaman luas Lucho ketika bersama Argentina dan kelab-kelab utama di Amerika Selatan dan Eropah ketika bergelar pemain.

Rumusan: Jiwa Harimau Selatan

Tidak keterlaluan jika kita katakan Luciano Figueroa adalah legenda hidup berjiwa Harimau Selatan. Kejayaan lalu mengisahkan beliau adalah sebahagian daripada JDT ketika kelab selatan tanah air itu mencipta sejarah muncul juara Piala AFC empat tahun yang lalu.
Kini Luciano Figueroa bergelar pengendali. Ini juga merupakan penampilan pertama wakil negara di saingan berprestij peringkat Asia. Apa pun keputusan atau pencapaian oleh JDT, tidak ada siapa yang boleh menafikan sejarah yang bakal tercipta ketika JDT berhadapan dengan Kashima Antlers petang esok. Apa pun keputusan dan pencapaian di kemudian hari di pertandingan Asia ini, Lucho dan JDT hanya boleh berbangga untuk terus melihat ke hadapan – demi pencapaian yang lebih gemilang di masa hadapan.
Hola Lucho, todo lo mejor para ti y JDT en Asia! Expande tu poder!

Ulasan