Luciano Figueroa: Kita Beri Ruang Kepada Selangor Mengasak Kawasan Gol Kita


Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod tanpa kalah kepada 5 perlawanan dalam aksi malam tadi selepas berjaya menundukkan Selangor dengan keputusan 4-2 di Stadium Shah Alam dalam perlawanan ke-5 unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019.

Dan ia merupakan 3 mata penuh pertama mereka di stadium lawan selepas diikat Terengganu dengan keputusan 2-2 dalam lawatan pertama keluar daripada Larkin pada minggu ke-3 liga.
Menurut ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa menjelaskan dalam sesi post match reaction di iflix yang kesilapan memberikan lawan ruang telah membolehkan mereka bangkit mengejar.
“Kita bermula dengan baik dan kita telah jaringkan dua gol pantas. Kemudian kita beraksi sedikit perlahan dan kita telah beri mereka peluang untuk bermain serta membiarkan mereka mengasak ke kawasan gol kita,” ujar pengendali berusia 37 tahun itu.

Foto: JST
Selangor cuba bangkit dua kali untuk mengejar namun JDT juga tidak mudah membiarkan lawan untuk mendekatkan jurang gol apabila membalas setiap gol daripada tuan rumah itu.
Selangor bangkit menerusi jaringan dua pemain import, Endrick Dos Santos dan Rufino Segovia sebelum JDT memuktamadkan keputusan dengan meraih 3 mata penuh di gelanggang lawan.
“Kita akan perbaikinya (kesilapan tadi). Kita beraksi di tempat lawan dan kita menang perlawanan yang susah kerana Selangor adalah pasukan yang sukar dan saya rasa ia satu perlawanan yang hebat.
“Kadang-kadang ia (perlawanan) sukar tetapi pada hari ini para pemain bermain dengan cukup baik dan kita sangat berpuas hati dengan tiga mata yang telah diraih,” jelasnya lagi.
Selain itu, menurutnya lagi, Harimau Selatan sentiasa belajar daripada kesilapan dan akan sentiasa memperbaiki malah perlu membetulkan kesilapan yang telah lakukan dalam mana-mana perlawanan – termasuk yang dilakukan dalam perlawanan ini.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami oleh dua tonggak pertahanannya iaitu Mauricio dan Azrif Nasrulhaq, Figueroa tampak tidak berapa gusar mengenai kecederaan mereka.
“Mauricio mengalami masalah di peha dan Azrif pula saya rasa ia berkaitan dengan lututnya tetapi saya yakin mereka akan okay,” terangnya sambil menyatakan mereka akan menilainya semula.
Selepas ini, JDT akan terbang ke Jepun untuk bertemu Kashima Antlers untuk aksi pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 pada Selasa sebelum melayan kunjungan PKNP FC, 4 hari kemudian.

Ulasan