“Kami terlepas terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol, terlalu banyak. Tetapi, tidak mengapa. Itulah bola sepak.”
Itu adalah komen daripada pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa dalam sesi post-match reaction di iflix selepas melihat barisan pemainnya terikat 1-1 menentang Kedah.
Pengurus berusia 38 tahun itu nampak masih tenang walaupun pasukannya baru sahaja melalui satu perlawanan yang agak fizikal dan penuh emosi daripada kedua-dua pasukan di Darul Aman.
JDT terlebih dahulu meledak gol pendahuluan seawal minit ke-10 menerusi sepakan percuma menarik Safawi Rasid yang berjaya menewaskan Ifwat Akmal buat kali ketiga pada musim ini.
Kedah bangkit untuk mengikat keputusan 20 minit kemudian apabila penyerang yang sudah agak lama menyepi daripada jaringan gol, Fernando Rodriguez, menerusi tandukkannya.
JDT memiliki beberapa peluang pula selepas itu di babak kedua, namun ketangkasan Ifwat Akmal menyelamatkan dua percubaan boleh gol membuatkan JDT hanya membawa pulang 1 mata.
Keputusan yang dilihat wajar buat kedua-dua pasukan dengan Helang Merah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 3 perlawanan di Darul Aman untuk saingan musim 2019.
Ini merupakan kali kedua JDT gagal meraih mata penuh dalam 7 perlawanan – kali pertama ketika diikat Terengganu FC pada minggu ketiga liga, 15 Februari yang lalu.
Figueroa turut mengakui menentang Kedah adalah perlawanan yang sukar, “Ia satu perlawanan yang sukar, stadium yang juga sukar dan tiada apa yang boleh dilakukan di sini,”
Figueroa turut menggariskan yang Harimau Selatan seharusnya menang namun meraih 1 mata menentang Kedah baginya sudah cukup dan ketika ini masih kekal di puncak Liga Super 2019.
Turut disentuhnya adalah aksi awal babak pertama dan kedua yang menurutnya para pemainnya telah memberikan aksi sangat baik.
“Babak pertama, saya rasa dalam 20 atau 25 minit kita bermain sangat baik, cipta banyak peluang. Tetapi selepas itu kita sedikit perlahan dan beri ruang kepada mereka untuk menguasai aksi.
“Babak kedua, pasukan saya beraksi dengan baik dan kita terlepas terlalu banyak peluang. Jika kita menjaringkan 1 gol, kita telah menang perlawanan ini tetapi dengan keputusan ini, 1 mata ini, kita masih kekal di puncak liga,” jelasnya lagi.
JDT masih di puncak liga dengan 17 mata, 3 mata di depan Pahang yang akan turun beraksi pada malam ini. Mereka boleh terlepas kedudukan itu jika Pahang berjaya memenangi perlawanan dengan 2 gol atau lebih menentang Felda United di Jengka.
Ulasan
Catat Ulasan