Lima Perkara : Penalti Diogo Santo hadiahkan mata pertama JDT di pentas ACL



Lima Perkara : Penalti Diogo Santo hadiahkan mata pertama JDT di pentas ACL


Aksi pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di bumi Malaysia menyaksikan wakil tunggal negara, Johor Darul Takzim meraih mata pertama mereka setelah mencatat keputusan seri 1-1 menentang kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC dalam aksi Kumpulan E di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin pada Selasa.
Jaringan penalti oleh Diogo Santo pada minit ke-68 memadam jaringan pendahuluan Kwak Tae Hwi yang meletakkan Gyeongnam FC di depan pada minit ke-52.
Berikut lima perkara pemerhatian kami dari perlawanan menarik tersebut yang telah turut disaksikan oleh bekas pemain terbaik dunia dan pemenang Piala Dunia sebanyak dua kali, Ronaldo Nazario de Lima.

Benjamin Mora taruh kepercayaan kepada skuad sama
Benjamin Mora hanya membuat satu pertukaran terhadap barisan pemain yang tewas setelah memberikan tentangan sengit kepada Kashima Antlers dalam aksi sulung, iaitu memasukkan Nazmi Faiz Mansor mengisi tempat Syafiq Ahmad.
Dia kemudiannya membuat satu lagi pertukaran minit akhir menggantikan penjaga gol Farizal Marlias yang mengalami kecederaan ketika memanaskan badan dengan Izham Tarmizi Roslan.
Empat pemain S.Kunanlan, Mauricio, Adam Nor Azlin dan Corbin Ong membentuk banteng terakhir, Afiq Fazail, Hariss Harun dan Nazmi Faiz ditugaskan mengemudi tengah manakala Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Diogo Santo ditugaskan memburu jaringan.

JDT hampa dek tiada penyudah, Gyeongnam kelihatan ‘biasa-biasa’ sahaja
Kedua-dua pasukan bermula dengan rentak berhati-hati namun tidak keterlaluan untuk mengatakan, ianya tuan rumah yang tampil dengan permainan lebih meyakinkan dan agresif, sehingga memperlihatkan jagoan dari Korea Selatan itu sebagai sebuah pasukan ‘biasa-biasa’ sahaja.
JDT boleh dikatakan mendominasi hampir keseluruhan permainan dan berhasil mencetak tidak kurang daripada 20 percubaan secara keseluruhan ke gawang Gyeongnam namun meratapi ketiadaan sentuhan penyudah.
Sebaliknya bagi Gyeongnam, mereka tidak banyak merencana gerakan menarik mahupun mencipta peluang, malah hanya berjaya merekodkan enam percubaan sekaligus menyaksikan Izham Tarmizi lebih banyak berehat sepanjang perlawanan.

Kecemerlangan Lee Bum-Soo, tiang dan palang nafikan JDT
Satu faktor mengapa JDT begitu sukar menjaringkan gol adalah kerana kecemerlangan penjaga gol Gyeongnam FC, Lee Bum-Soo yang berjaya menterjemahkan prestasi terbaiknya.
Bum Soo menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya antaranya menerusi Safawi Rasid pada minit ke-25, serta dua percubaan Diogo Santo pada separuh masa kedua.
Malah dia juga cemerlang menghalang Safawi dari melakukan percubaan ketika situasi satu lawan satu pada minit akhir permainan.
Bukan sahaja kecemerlangan Bum Soo, tiga percubaan masing-masing oleh Safawi dan Gonzalo Cabrera pada minit ke-72 dan Diogo Santo pada minit ke-87 kesemuanya dinafikan oleh tiang dan palang.

Dua kesilapan, hasilkan dua jaringan
Dengan JDT mahupun Gyeongnam tampak kurang menyengat di barisan depan, kedua-dua gol dalam perlawanan ini terhasil berikutan kesilapan oleh pemain dari kedua-dua pasukan.
Kesilapan pertahanan Harimau Selatan yang tidak menutup ruang buat Tae Hwi membolehkan pemain veteran berusia 37 tahun itu mudah melonjak untuk menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Lee Yeong Jae pada minit ke-52.
Manakala JDT pula setelah puas mencuba, ianya sepakan penalti yang dihadiahkan setelah bola terkena tangan Song Ju Hun memastikan mereka berjaya untuk mengikat kedudukan dan menyelamatkan satu mata.

JDT, Gyeongnam FC masih buntu kemenangan
Meskipun berjaya meraih mata sulung, JDT pastinya merasakan ianya satu kerugian besar gagal untuk menang perlawanan ini setelah apa yang telah mereka tampilkan sepanjang 90 minit.
Peluang mencatat kemenangan di laman sendiri terlepas dan misi memburu kemenangan sulung akan diteruskan pada aksi seterusnya menentang Shandong Luneng Taishan pada 9 April depan.
Manakala bagi Gyeongnam, mereka juga masih buntu kemenangan dan ini adalah keputusan seri kedua mereka setelah seri 2-2 menentang Shandong dalam aksi pertama. Aksi seterusnya Gyeongnam akan menentang Kashima Antlers.

Ulasan