LIMA PERKARA MENARIK DALAM PERLAWANAN JDT MENENTANG GYEONGNAM FC

LIMA PERKARA MENARIK DALAM PERLAWANAN JDT MENENTANG GYEONGNAM FC
Perlawanan kedua peringkat kumpulan E membabitkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) telah berlalu. Namun disebalik perlawanan yang buat julung kalinya berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin terlihat beberapa perkara menarik yang berjaya membuka mata pemerhati, pengkritik dan penyokong bola sepak tempatan, benua Asia malahan seluruh dunia.
1. TUMPUAN
Perlawanan ini merupakan perlawanan tumpuan setelah kejayaan JDT memberi tentangan sengit kepada kelab gergasi Liga Jepun, Kashima Antlers. Perlawanan ini juga menjadi tanda aras dan pembayang adakah JDT akan meneruskan kecemerlangan, mengekalkan konsintensi dan memberi tentangan sengit kepada kelab-kelab gergasi dan elit Asia.
2. ATMOSFERA
Luar biasa! Atmosfera Stadium Larkin begitu luar biasa pada malam itu hingga berjaya mengugupkan dan mengganggu konsentrasi pasukan lawan. Seramai 16,130 penyokong telah hadir menyaksikan perlawanan tersebut. Sekitar jam 8.00 malam, lautan Merah Biru jelas memenuhi rumah kita ini. Sorakan Larkin bergema tanpa henti dan misi “1 Penyokong 1 Bendera” boleh dikatakan berjaya. Atmosfera mengagumkan ini mendapat liputan meluas seluruh media sosial juga media massa antarabangsa.
3. KUALITI
Perkara ini paling membuat penyokong cukup teruja! Aksi keseluruhan pasukan amat menakjubkan! JDT mengasak tanpa henti sejak bermula saat pertama perlawanan. Kelab elit yang menjadi antara wakil kuasa bola sepak benua Asia itu kelihatan gigih bertahan menepis serangan bertubi-tubi Harimau Selatan. Perlawanan menarik tersebut memperlihatkan bahawa kualiti bola sepak tanah air juga tidak kurang hebatnya dan mampu bersaing. Statistik menunjukkan JDT mampu mengawal tempo perlawanan.
4. YAKIN
Bukanlah gunung yang menjadi penghalang merealisasikan impian, tetapi diri kita sendiri! Percaya dan tidak berhenti berusaha akan menerbitkan sebuah efikasi diri yang agung. Efikasi diri itulah yang memberi kesan mendalam kepada perjuangan Harimau Selatan sehingga ada kala kelihatan Naib Juara K-League 1 itu hanya mampu berserah kepada takdir apabila Harimau Selatan rakus menyerang kubu pertahanan mereka.
4. LAGENDA
Seakan tidak percaya, lagenda bola sepak terhebat dunia berada di negeri Johor dan bersama-sama memberi sokongan ke atas JDT. Kehadiran bekas pemain “Galactico” iaitu Ronaldo bukan sahaja memberi keterujaan penyokong dan pemain Harimau Selatan tetapi juga pemain Gyeongnam FC.
Paling menarik dan tidak dilupakan, pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong berjaya menghadiahkan satu kebanggaan buat DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor ketika baginda berjaya membawa lagenda dunia ini ke stadium keramat bangsa Johor. ‘Joy of Larkin’ memberi impak positif yang pasti menarik minat beliau untuk kembali ke sini. Sorakan, disiplin, intergrasi di Stadium Larkin ini bakal menjadi ingatan dan memoribilia indah dalam kunjungan beliau ke bumi Jauhar.
5. REHAT
JDT telah melalui jadual yang padat sepanjang bulan Mac ini. Maka apabila tamatnya perlawanan semalam, skuad Harimau Selatan akan berehat lebih kurang 2 minggu. Peluang ini akan digunakan untuk proses ‘re-fresment dan re-energize’. Namun begitu latihan intensif tetap diteruskan supaya keseluruhan barisan pemain dapat mengekalkan momentum tanpa merencatkan konsistensi.
Akhir kata, JDT sebuah kelab yang dilahirkan dengan impian yang besar. DYAM Tunku Mahkota Johor selalu percaya bahawa untuk menyelesaikan sesuatu yang mustahil, tidak hanya sekadar dengan kata-kata atau tindakan, tetapi juga memasang sebuah impian besar. Dengan impian yang besar itulah DYAM Tunku Mahkota Johor mengubah JDT menjadi sebuah kelab yang progresif dan luar biasa pada malam semalam.
Bernasib baik? Ya wakil Kelab Republik Korea itu memang bernasib baik.
“Annyeonghi kasipsio Gyeongnam!"
Sumber artikel: Media JST

Ulasan