Lima Perkara: Ketajaman JDT kecewakan Selangor


Lima Perkara: Ketajaman JDT kecewakan Selangor


Perlawanan tumpuan pada minggu ini!
Aksi ke-5 Liga Super 2019 menemukan Selangor yang dibimbing oleh B. Satiananthan menentang Johor Darul Ta’zim yang dikendalikan oleh Luciano Figueroa di Stadium Shah Alam.
Sebanyak 6 gol dijaringkan dalam perlawanan yang penuh dengan aksi dan drama disaksikan hampir 22,000 penonton daripada kedua-dua pasukan.
Berikut adalah lima perkara yang kami dapati daripada perlawanan di antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim:
1) Dua gol dalam masa 13 minit
Bertandang ke kandang lawan, ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding menentang Melaka pada minggu lalu dengan memasukkan Kiko Insa dan Mauricio di bahagian pertahanan, Afiq Fazail di bahagian tengah.
Sebaik sahaja wisel ditiup oleh pengadil perlawanan, juara bertahan, JDT tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke-7 menerusi Leandro Velazquez. Berselang lima minit kemudian, Diogo Luis Santo pula mengejutkan Khairul Azhan di hadapan gawang untuk gol kedua Harimau Selatan.
Keupayaan mereka untuk ‘settle down’ dengan pantas biarpun bermain di gelanggang lawan menunjukkan kualiti yang ada pada juara lima kali  berturut-turut Liga Super ini.
2) Tendangan roket daripada Endrick dos Santos bangkitkan semangat The Red Giants



33' | GOL ENDRICK DOS SANTOS!

Red Giants cuba kembali dalam perlawanan ini melalui ledakan 'screamer' cantik dari Endrick Dos Santos.@FASelangorMy 1-2 @OfficialJohor

97 people are talking about this

Setelah ketinggalan 2 gol dalam masa 13 minit masa permainan, anak buah B. Satiananthan tampak sedikit tertekan untuk menahan asakan lawan dan juga untuk melakukan serangan untuk merapatkan jurang.
Namun, pemain terbaik dalam perlawanan menentang Pahang pada minggu lalu, Endrick Dos Santos Parafita melakukan satu gerakan solo yanh menarik sebelum melepaskan satu rembatan roket daripada luar kotak penalti untuk menewaskan Farizal Marlias seterusnya memberikan gol pertama untuk Selangor pada malam ini.
Selain daripada berjaya merapatkan jurang menerusi gol tersebut, Endrick berjaya membangkitkan semangat rakan sepasukan untuk terus memberikan tentangan kepada JDT di atas padang.
3) JDT lebih tajam dihadapan gawang



68' | GOL LEANDRO VELAZQUEZ!

JDT menambah gol ke-4 mereka melalui Leandro Velazquez yang pantas memberi reaksi selepas rembatan Gonzalo Cabrera ditepis oleh Khairul Azhan.@FASelangorMy 2-4 @OfficialJohor

79 people are talking about this

Walaupun JDT berjaya masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan jaringan 3-2 mengatasi Selangor, babak pertama di antara Gergasi Merah dan Harimau Selatan tampak seimbang.
Jika diamati, pasukan tuan rumah, Selangor dilihat lebih mendominasi penguasaan bola dan serangan. Beberapa kali dapat dilihat Selangor berjaya membuatkan Farizal Marlias tidak duduk senang di hadapan gawang selain daripada berjaya menggegarkan palang menerusi tandukan Nurridzuan.
Namun, pasukan pelawat dilihat lebih tajam dihadapan gawang dengan beberapa kali serangan mereka berjaya menghasilkan 3 jaringan pada babak pertama.
4) Gandingan Rufino Segovia – Sandro Mendonca diturunkan buat pertama kali
Malam ini, pengandali Selangor, Coach Satia menurunkan gandingan duo penyerang Rufino dan Sandro buat pertama kali pada musim ini.
Mereka digandingkan dalam sistem 4-4-2 dengan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia diletakkan tinggi di atas, manakala bekas penyerang Kedah, Sandro lebih banyak berperanan selaku penyerang kedua dan banyak berlegar-legar di bahagian tengah untuk membantu mengutip bola.
Namun, gandingan mereka masih lagi baru. Belum mampu memberikan satu ancaman yang serius buat pasukan lawan.
5) Gol Leandro pada babak kedua membunuh semangat Red Giants
Bersambung babak kedua, Leandro Velazquez sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pasukan Selangor apabila beliau berjaya mengambil peluang untuk menyudahkan bola muntah daripada tampanan kurang kemas Khairul Azhan pada minit ke-68 untuk gol keempat JDT.
Sesudah jaringan tersebut, Selangor menghabiskan 20 minit terakhir dengan tempo yang agak perlahan berbanding pada babak pertama. Semangat untuk memburu jaringan juga tampak pudar. Mereka terpaksa akur dengan kekuatan JDT dan keputusan akhir 2-4.
Foto Kredit: Johor Southern Tigers

Ulasan