Lima Perkara: JDT menyinar di pentas ACL, biarpun tewas 1-2 berdepan Kashima Antlers
Johor Darul Ta’zim berjaya mencipta sejarah hari ini apabila menjadi pasukan Malaysia pertama untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia. Biarpun berdepan dengan tugas sukar, skuad Southern Tigers beraksi dengan agresif menentang juara bertahan, Kashima Antlers. dan hanya sekadar tewas 2-1 selepas pertarungan yang sengit.
Taiki Hirato membuka tirai jaringan pada minit ke 43. sebelum Serginho menggandakan kelebihan Kashima pada minit 56. Namun, Johor Darul Ta’zim berjaya bangkit semula untuk mendapatkan gol tunggal melalui jaringan Diogo pada minit ke-80 – gol pertama JDT di pentas ACL. Berikut adalah lima perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:
Diogo tunjuk kemampuan di pentas Asia
Antara sebab utama Johor Darul Ta’zim membawa masuk Diogo musim ini adalah rekod dan pengalaman beliau di pentas bolasepak Asia. Bersama Buriram United. Diogo bukan sahaja efektif dalam menjaringkan gol di Thailand, namun beliau juga sering muncul hero kelab tersebut di Liga Juara-Juara Asia.
Malam ini, Diogo berjaya menunjukkan kualiti tersebut sambil menyarung jersi Johor Darul Ta’zim, apabila menjaringkan gol tunggal skuad Southern Tigers, biarpun tewas di tangan Kashima Antlers. Selain itu. Diogo turut banyak mencipta peluang, terutamanya apabila digunakan di bahagian sayap pada babak pertama. Kekuatan fizikal beliau mendatangkan banyak masalah kepada barisan pertahanan Kashima Antlers.
Adam Nor Azlin menyinar di posisi CB
Mauricio mungkin pemain yang lebih berpengalaman, tetapi malam ini, Adam Nor Azlin muncul pemain terbaik di posisi pertahanan untuk Johor Darul Ta’zim. Tatkala Mauricio banyak melakukan kesilapan, Adam sering tampil menjadi hero dengan terjahan-terjahan penting untuk memastikan gawang gol JDT tidak dibolosi.
Sebagai contoh, bintang Kashima, Serginho hampir menjaringkan gol pada awal babak kedua, tetapi Adam berjaya membuat ‘recovery’ sebelum meletakkan kaki beliau untuk menghalang cubaan pemain Brazil tersebut. Persembahan yang cukup matang dari Adam.
Tidak perlu ‘park the bus’
Ramai yang berpendapat bahawa Johor Darul Ta’zim mungkin akan beraksi di pentas ACL dengan strategi yang lebih fokus ke arah bertahan, tetapi keputusan perlawanan malam ini menjadi bukti bahawa skuad Southern Tigers mempunyai kebolehan untuk menggunakan identiti bolasepak mereka, dan bermain dengan lebih berani di atas padang.
Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Diogo banyak mendatangkan masalah di posisi ‘final third’, manakala Hariss Harun dan Afiq Fazail cukup tenang dalam mengawal tempo perlawanan di bahagian tengah. Prestasi JDT pada babak kedua perlu digunakan sebagai penanda aras yang penting – bukan mudah untuk mendominasi kawalan bola apabila berdepan dengan juara bertahan ACL.
JDT perlu kurangkan kesilapan mudah
Kualiti yang dimiliki oleh Johor Darul Ta’zim tidak boleh dinafikan, namun apa yang perlu diperbaiki sebelum baki lima perlawanan ACL adalah kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan sepanjang 90 minit. Biarpun Farizal Marlias muncul wira JDT selepas menyelamatkan sepakan penalti Serginho pada babak pertama, perlu diingatkan bahawa penalti tersebut hanya dihadiahkan ekoran terjahan kurang bijak daripada Farizal.
Malah sebelum itu, JDT juga bernasib baik, apabila pengadil hanya menghadiahkan sepakan percuma pada minit ke-2, biarpun Farizal melalukan terjahan di dalam kotak penalti. S. Kunanlan juga banyak melepaskan bola dengan mudah, sekaligus membuka ruang untuk pasukan Kashima Antlers melancarkan serangan balas. Di pentas Asia, kesilapan-kesilapan mudah sebegini akan dihukum oleh pasukan lawan.
Malam yang bersejarah untuk Johor Darul Ta’zim
Setelah sekian lama menunggu, Johor Darul Ta’zim berjaya mencipta sejarah hari ini apabila menjadi pasukan Malaysia pertama untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia. Pentas ACL ini menjadi antara impian utama Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, apabila beliau mengambil alih pucuk kepimpinan bolasepak Johor pada hujung tahun 2012 dan skuad Southern Tigers akhirnya merealisasikan impian tersebut malam ini. Pujian juga harus diberikan kepada barisan penyokong JDT. terutamanya dari ‘Boys of Straits’, yang turun memberikan sokongan mantap kepada pasukan mereka di Kashima. Nyanyian mereka sepanjang 90 minit tadi sudah tentu efektif dalam menyuntik semangat barisan pemain JDT di atas padang.
Ulasan
Catat Ulasan