KUALA LUMPUR 28 Mac - Kedah menerima tamparan hebat menjelang pertemuan getir menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) esok kerana kehilangan pertahanan kental, Renan Alves.
Alves, 26, bakal menjalani penggantungan perlawanan keduanya gara-gara kekasaran yang dilakukan terhadap pemain PKNS, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali dalam aksi Liga Super pada 2 Mac lalu.
Bagi pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak ketiadaan pemain kelahiran Brazil itu memberi tamparan kepada Lang Merah apabila berdepan pasukan terbaik liga domestik, JDT.
Bagaimanapun, dia memang sudah menjangkakan hukuman itu kerana Alves sebelum ini telah menjalani penggantungan pertama pada perlawanan menentang Pahang, yang menyaksikan Kedah tewas 0-1, 8 Mac lalu.
"Kami sudah menjangkakan perkara ini dan telah melakukan persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kami mengadakan beberapa aksi persahabatan tanpa Alves menerusi program Jelajah Lembah Klang dalam tempoh dua minggu ini bagi mencari kombinasi terbaik untuk mengisi posisi pertahanan.
"Kami perlu memikirkan pelan A dan pelan B bagi bagi memastikan pasukan ini tidak terjejas," katanya kepada pemberita.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Alves didapati bersalah melanggar Artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM akibat berkelakuan ganas menghentak kepalanya ke atas kepala Faizat.
Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuarat ke-10 semalam turut mengenakan penggantungan dua perlawanan terhadap penyerang PKNS, Kpah Sean Sherman kerana menyiku pemain PKNP FC, Amani Manual Aguinaldo dalam aksi Liga Super, 23 Februari lalu.
Pemain kelahiran Liberia itu sudah menjalani penggantungan pertama ketika pasukannya bertemu Kedah 2 Mac lalu dan bakal terlepas aksi menentang PJ City, Sabtu ini. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan