IMEJ UNGGUL KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM LAMBANG KEMEGAHAN HARIMAU SELATAN

IMEJ UNGGUL KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM LAMBANG KEMEGAHAN HARIMAU SELATAN
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menyatakan bahawa baginda amat menitikberatkan tentang pembangunan prasarana dan fasiliti sejak awal permulaan gerak langkah aspirasi pembinaan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT).
Antara yang istimewa adalah Pusat Latihan Tertutup JDT di Padang Seri Gelam. Ilham tersebut datang daripada DYAM Tunku Mahkota Johor sendiri. Segala rekabentuk dan susun atur adalah dari cetusan idea baginda. Perubahan drastik pusat latihan tersebut telah berjaya mencetus imej unggul skuad Harimau Selatan di mata pemerhati bola sepak serata dunia.
Sekitar tahun 2017, skuad kebangsaan China bimbingan Marcello Lippi telah memilih pusat latihan JDT sebagai medan persiapan menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Syria. Mereka memohon untuk menggunakan kemudahan latihan tersebut kerana tertarik dengan kemudahan prasarana dan fasiliti milik Harimau Selatan. Perkara ini merupakan satu kebanggaan dan penghargaan buat JDT.
Namun pada situasi terkini, walaupun JDT sudah mempunyai prasarana dan fasiliti yang terbaik, ia tidak bermakna DYAM Tunku Mahkota Johor telah berpuas hati. Kini baginda telah mengorak langkah terbaharu apabila baginda telah merencana untuk menjadikan pusat latihan baharu akan datang tampil sebagai sepuluh terbaik di dunia.
Di sebalik kemajuan membina prasarana dan fasiliti, DYAM Tunku Mahkota Johor bertitah bahawa penambahbaikan padang bola sepak dan rumput perlu menjadi fokus utama dan perkara pertama yang perlu diberi tumpuan. Umum mengetahui, stadium bola sepak merupakan suatu entiti yang melambangkan identiti sebuah pasukan bola sepak. Stadium digambarkan seperti rumah kediaman bagi pasukan yang bertanding di sebuah liga di mana-mana negara.
Kemegahan stadium jelas bukan hanya terletak pada kejayaan pemasangan tempat duduk pemain simpanan dan pegawai pasukan (bench player) kepada jenis kerusi 'bucket' atau pada pemasangan 'led board' yang mengelilingi sekitar padang tetapi sejauh mana kualiti padang bola sepak di stadium tersebut. Kualiti padang bola sepak akan mencerminkan wajah sesebuah stadium.
Stadium yang baik harus mempunyai penjagaan rumput yang rapi kerana dengan adanya padang yang baik, ia dapat mempengaruhi prestasi pemain malah akan membuatkan pemain dapat bermain lebih selesa dengan risiko cedera yang minimal. Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin misalnya telah mendapat pujian dan pengiktifarafan oleh tetamu-tetamu dari luar ketika dijemput hadir ke stadium keramat ini.
Imbas kembali sekitar tahun 2015, ketika perlawanan persahabatan pra-musim JDT bertemu kelab hebat Bundesliga, Borussia Dortmund (BVB) yang bertandang ke Stadium Larkin. Bekas Ketua Jurulatih BVB, Thomas Tuchel yang kini membimbing kelab gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain FC telah memuji Stadium Larkin. Beliau amat teruja dengan kualiti padang dan tidak gentar untuk menurunkan pemain-pemain bernilai tinggi seperti Marco Reus dan Pierre-Emerick Aubameyang untuk beraksi.
Akhir kata, langkah-langkah yang dilaksanakan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor harus dijadikan modul rujukan bagi mana-mana pasukan atau kelab di Malaysia yang ingin keluar dari kepompong konvensional. Buang sifat paranoid kepada JDT dan berusaha bersama-sama mengubah landskap, pandangan serta martabat bola sepak tanah air di mata dunia.
"Setelah segala yang diusahakan, sebenarnya saya baru sahaja bermula" - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan