ALOR SETAR: Kelab-Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (G32) mengajak rakyat negeri ini untuk membanjiri Stadium Darul Aman bagi memberi sokongan kepada skuad Helang Merah yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat ini, menerusi kempen `satu penyokong satu bendera’.
Kempen mengibarkan bendera berwarna warna hijau dan kuning itu diharap dapat menyuntik semangat barisan pemain Kedah untuk memastikan tiada mata terlepas kepada penyandang juara Liga Super itu.
Jurucakap G32, Azmi Abdullah berkata rancangan mengadakan kempen berkenaan adalah sebagai tanda kesetiaan dan tanggungjawab selaku `pemain ke-12’ dalam memberi motivasi terhadap pasukan kesayangan mereka itu.
"Kempen yang kita jalankan ini, dimulakan hari ini dengan acara simbolik iaitu penyerahan bendera kepada ketua jurulatih dan semua pemain Kedah selepas mereka mengadakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
“Kemudian pada hari perlawanan, bagi yang tidak memiliki bendera sendiri, kami akan mengadakan jualan bendera hijau kuning ini dengan potongan harga menarik di gerai berdekatan kaunter tiket bagi memudahkan penyokong mendapatkannya.
“Kami mahu semua penyokong Kedah bersama-sama menjayakan kempen yang diatur ini dalam menghidupkan suasana stadium,” katanya.
Sementara itu, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak turut berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh G32 itu.
"Kempen 'satu penyokong satu bendera' ini sungguh bermakna buat kami yang bakal menentang pasukan JDT. Dengan sokongan yang ditunjukkan ini, ia mampu untuk meningkatkan motivasi kami bagi memburu kemenangan." katanya.
Ulasan
Catat Ulasan