KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM, MENGAPA KINI DUNIA MELIHAT KITA?

KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM, MENGAPA KINI DUNIA MELIHAT KITA?
Nama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah menjadi sebutan media-media antarabangsa serta pemerhati-pemerhati bola sepak seluruh benua Asia dan dunia sejak persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) berlangsung.
Mereka kagum setelah mendapat tahu bahawa pemilik kelab DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berjaya membawa kelab setahun jagung ini merealisasikan impian dalam tempoh yang begitu singkat.
Dunia kini lebih melihat JDT sebagai sebuah kelab yang beraspirasi besar serta mempunyai perancangan jangka masa panjang yang mampu menjadikan kelab ini hebat kelak.
1. KEAZAMAN
Dengan keazaman dan iltizam yang tinggi, anjakan paradigma berjaya terhasil. Anjakan paradigma merupakan prinsip yang menentukan perjalanan kelab ini menuju ke jalan kegemilangan.
Keazaman merupakan sesuatu yang berkait rapat dengan kegigihan. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menunjukkan kepada dunia bahawa hanya dengan keazaman yang kuat mampu membawa kelab kecil ini berani mencabar kelab-kelab gergasi Asia dan dunia.
Dengan keazaman, baginda berjaya membawa JDT keluar dari persepsi pemerhati dan peminat bola sepak bahawa wakil dari Malaysia ini hanya hadir sebagai pelengkap jadual.
2. KOLABORASI
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah mengatur langkah menimba ilmu dari kelab-kelab di Asia Tenggara, benua Asia, benua Eropah malah benua Amerika Selatan. Perkongsian ilmu dari kelab-kelab berjaya di setiap tempat yang dinyatakan boleh memberi inspirasi kepada kelab ini untuk terus berjaya di peringkat lebih tinggi.
Terbaharu adalah pertemuan baginda bersama pemilik kelab gergasi Serie A Italy, Juventus FC iaitu keluarga Agnelli dan Ronaldo, pemilik kelab La Liga, Real Valladolid bagi membincangkan peluang berkolaborasi antara JDT dan kelab-kelab tersebut.
3. FASILITI
Umum sudah mengetahui, seluruh Malaysia juga lebih mengetahui, JDT satu-satunya kelab yang mempunyai fasiliti paling terbaik di Malaysia malah berkelas dunia. Kemudahan yang sentiasa dinaiktaraf dari semasa ke semasa menjadikan kemudahan itu berada di tempatnya tersendiri.
Baru-baru ini, semasa lawatan "The Phenomenon" atau Ronaldo ke pusat latihan tertutup JDT di Padang Seri Gelam, lagenda bola sepak dunia ini kelihatan kagum dan teruja melihat apa yang telah dibangunkan di kelab kecil berjiwa besar ini. Beliau turut mencuba segala fasiliti yang ada dan mengakui semua kemudahan ini berkelas tinggi dan terbaik malah setaraf dengan kemudahan yang ada di kelab-kelab gergasi dunia.
4. STRATEGI PEMASARAN
JDT juga berjaya menggunakan kuasa nilai komersial setelah DYAM Tunku Mahkota Johor bertindak mewujudkan satu pasukan di dalam organisasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemasaran untuk menjana pendapatan sendiri.
Dengan adanya kepakaran dalam bidang pemasaran, JDT telah melangkah kehadapan dalam penjenamaan dan 'merchandising'. Organisasi ini berjaya memiliki hak mutlak penjualan jersi pasukan dan hak eksklusif penjualan jersi.
Perkara paling menarik, DYAM Tunku Mahkota Johor bersama unit pemasaran berjaya mengeksploitasi setiap medium yang ada untuk menjana pendapatan melalui publisiti. Penajaan di jersi JDT adalah medium iklan yang mempunyai nilai komersil dan menjadi rebutan para penaja.
Akhir kata, dengan segala perancangan yang telah dibuat oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, JDT telah berjaya membuka mata bahawa Malaysia mempunyai sebuah kelab kecil yang bakal menggoncangkan kancah bola sepak dunia suatu hari nanti.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan