Langkau ke kandungan utama

Kedah sedia ‘baham’ JDT

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak

ALOR SETAR 28 Mac - Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu anak-anak buahnya menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk ‘membaham’ Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman esok.
Katanya, Kedah sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit kepada pendahului Liga Super itu di dalam aksi yang dijangka penuh mencabar itu.
Semua pemain kini dalam keadaan positif dan bermotivasi tinggi menantikan perlawanan tersebut. Saya lihat semua pemain nampak bersemangat dan berada dalam situasi yang terbaik untuk memberikan tentangan hebat kepada JDT malam esok,” katanya.
Tambah beliau, meskipun pasukan terpaksa beraksi tanpa kehadiran pemain pertahanan import, Renan Alves yang digantung dua perlawanan akibat dilayangkan kad merah, namun semangat mereka untuk memburu kemenangan tetap tinggi.
“Kita telah melakukan persiapan bagi menghadapi situasi tersebut (penggantungan Alves) dan yakin pemain mampu mempersembahkan apa yang telah dirancang pada perlawanan itu nanti.
“Sudah tentu kita tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan lawan yang bertandang ke Stadium Darul Aman,” ujarnya.
Kedah yang meraih 11 mata dan menduduki tangga ketiga Liga Super, kini ketinggalan tiga mata di belakang Pahang (14 mata) dan lima mata di belakang JDT.
Selepas mengharungi enam perlawanan, JDT mencatat lima kemenangan dan satu seri manakala Kedah hanya berpuas hati dengan tiga kemenangan, dua seri dan kalah buat pertama kalinya kepada Pahang pada 8 Mac lalu.- UTUSAN ONLINE

Ulasan