Kedah, JDT terikat di Darul Aman


HAJAT Kedah menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri tidak kesampaian namun mereka tetap berpuas hati apabila seri 1-1 pada aksi Liga Super di Alor Setar, malam ini.
Beraksi di hadapan kira-kira 25,000 penonton di Stadium Darul Aman, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan selepas setengah jam ketika JDT mendahului pada awal babak pertama.
Lebih memilukan, hasrat skuad Helang Merah untuk mengekalkan rekod tidak dibolosi di stadium keramat itu juga tidak menjadi kenyataan.
Pemain kebangsaan, Safawi Rasid menafikan rekod kebal Ifwat Akmal Chek Kassim apabila dia membuka tirai jaringan pada minit ke-10.
PENYERANG Kedah, Farhan Roslan (dua kanan) diasak pemain JDT. — FOTO Sharul Hafiz Zam
Sepakan mengelirukan Safawi dari jarak 25 meter gagal diselamatkan Ifwat yang akhirnya tertewas selepas 280 minit di Darul Aman.
Bagaimanapun, kesungguhan Kedah berbalas juga pada minit ke-30 apabila mereka menyamakan kedudukan.
Tandukan cantik pemain import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez menerjah ke penjuru kanan pintu gol JDT yang dikawal Farizal Marlias.
Keputusan seri itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 17 mata manakala Kedah turut tidak berganjak daripada kedudukan ketiga dengan 12 mata

Ulasan