Kedah, JDT terikat di Alor Setar






ALOR SETAR: Kedah berjaya menyekat pendahulu Liga Super, JDT daripada mencuri tiga mata dari Stadium Darul Aman apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1, malam ini.
Keputusan itu menyaksikan JDT kekal di persada liga dengan 17 mata sementara Kedah ketinggalan lima mata untuk menghuni tangga ketiga.
Aksi rancak dipamerkan kedua-dua pasukan sebaik perlawanan bermula dengan JDT hanya memerlukan 10 minit untuk berada di depan menerusi sepakan percuma Safawi Rasid.
Kedah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 20 minit kemudian selepas Fernando Rodriguez bijak menanduk masuk bola hantaran Khairul Helmi Johari ketika berlaku kelam kabut di depan pintu gol JDT.

Penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim boleh dianggap antara pemain yang paling sibuk di atas padang apabila terpaksa menangkis beberapa asakan daripada JDT yang jelas lebih menguasai permainan pada babak kedua.
Pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali (kanan) diasak pemain JDT, Corbin Ong pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Sebahagian penyokong Kedah yang hadir menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Malah, kejayaan Ifwat menyelamatkan percubaan terbaik JDT pada minit ke-54 menerusi tandukan La'Vere Corbin-Ong juga berjaya menyelamatkan pintu gol Helang Merah daripada dibolosi buat kali kedua.
Kemasukan bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid yang masuk menggantikan Safawi dalam lapan minit terakhir menggamatkan stadium, namun tetap gagal mengubah kedudukan 1-1 yang kekal hingga wisel penamat.

Ulasan