PEMILIK kelab JDT,Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang berbincang dengan Presiden Juventus, Andrea Agnelli. - gambar daripada Facebook HRH Crown Prince of Johor.
KUALA LUMPUR 9 Mac. - Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah lebih jauh apabila bakal menjalinkan kerjasama dengan kelab gergasi Itali, Juventus.
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi muat turun status dan gambar di laman sosial Facebook peribadinya berkata, pihaknya sedang membincangkan kolaborasi dengan Juventus.
Perkara itu dibincangkan ketika Tunku Ismail bertemu dengan presiden Juventus, Andrea Agnelli di Royal Park I Roveri, semalam.
“JDT dan Juventus telah bersetuju untuk bekerjasama dan Harimau Selatan akan menghantar satu delegasi ke Turin beberapa minggu akan datang bagi membincangkan lebih lanjut mengenai kolaborasi yang akan dijalinkan.
“JDT cukup berminat untuk memperluaskan wawasan mereka ke Itali serta mendapatkan pandangan bernilai dari kelab paling berjaya di Itali. Juventus telah memenangi 34 kejuaraan Serie A,” tulisnya dalam laman sosial Facebook peribadinya, HRH Crown Prince of Johor.
Sementara itu, Tunku Ismail turut melawat pusat latihan pasukan utama Juventus di Turin merangkumi bilik persalinan, auditorium, pusat rawatan & pemulihan, gimnasium dan padang.
Beliau juga berkesempatan menyaksikan perlawanan Serie A antara Juventus dan Udinese Calcio di Stadium Allianz di Turin. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan