Jurulatih Gyeongnam FC salahkan perjalanan jauh...





PENGENDALI Gyeongnam FC, Kim Jong-pu terpaksa menelan kata-kata pasukan itu mampu menjinakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebaliknya dipaksa bermandi peluh untuk membawa pulang satu mata.
Alasan diberikan cukup mudah buat bos kelab dari Republik Korea itu iaitu menyalahkan faktor perjalanan yang jauh menyebabkan barisan pemainnya gagal mempamerkan aksi terbaik selepas sekadar seri 1-1 dengan JDT pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia, malam tadi.
"Memang kami datang ke sini (Larkin) untuk mencari tiga mata. Tetapi kami terpaksa mengharungi aksi liga di Korea yang menyebabkan pemain utama saya mengalami kecederaan malah pemain juga tampak keletihan.
"Kami juga terpaksa menempuh perjalanan yang jauh yang merupakan faktor utama pemain letih malah dalam perlawanan itu bahagian tengah kami tidak berfungsi dengan baik dan sering hilang posisi yang memboleh pemain JDT menguasai posisi itu.
"Saya tidak berpuas hati dengan keputusan seri 1-1. Apapun saya akui JDT mempamerkan aksi terbaik dan kami tidak dibarisi pemain terbaik untuk mengimbangi kekuatan pasukan itu kerana barisan pemain saya tidak beraksi 100 peratus," katanya.
Dalam perlawanan itu, Gyeongnam FC membuka tirai jaringan m-52 menerusi bola tandukan Kwak Tae-hwi namun jaringan itu tidak bertahan lama apabila Diogo Luis Santo bangkit menyamakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-67.
Jong-pu menegaskan corak permainan pantas barisan tengah JDT nyata memerangkap pemainya yang terpaksa berhempas pulas untuk menyekat kemaraan dan gerakan berbahaya pasukan itu walaupun pada awalnya perancangan sudah dibuat untuk menguatkan posisi tengah.
"Kami kehilangan Takahiro Kunimoto yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan Jordon Mutch tampak keseorangan di posisi tengah dan dia tidak dapat memberi persembahan terbaik tatkala kepenatan dan itulah punca kami tidak beraksi dengan baik.Mengenai sepakan penalti yang diberikan kepada JDT, saya tidak mahu komen lebih lanjut. Biar saya tengok rakaman video dulu," katanya.

Ulasan